Category Archives: CONTOH PROPOSAL

CONTOH PROPOSAL ; SUMBER -ipbl/BM/penyelidikan/seminarpapers/2003

Standard

Pemikiran Cinta Bermukun Dalam Gendang Melayu Sarawak
oleh
Mohd. Fauzi Abdullah, Abd. Hamid Mukri, Roselan Baki
Omar Mamat, Raja Ahmad Raja Musa, Ahmad Shahril Rajain
Institut Bahasa Melayu Malaysia, Kuala Lumpur

ABSTRAK
Kajian ini membincangkan salah satu bentuk kesenian masyarakat Melayu Sarawak iaitu Gendang Melayu Sarawak. Aspek yang diteliti adalah gambaran isi dan falsafah pemikiran yang terkandung dalam mukun atau pantun berkenaan. Hasil penelitian terhadap bahan mendapati bahawa mukun atau pantun yand dicipta atau dilafazkan secara spontan dan bersahaja itu berguna sebagai sarana untuk menghibut, mendidik dan mengkritik peri laku ahli masyarakat. Sesuai dengan sifatnya sebagai hibutan santai, isi pemikiran pantun dalam gendang Sarawak didominasi oleh pantun-pantun cinta. Berdasarkan analisis terhadap bahan, hujahan dibuat untuk menggambarkan kepelbagaian isi pemikiran bermula dengan konsep cinta, kegigihan, rebutan, penghargaan kesetiaan, cumbuan, penduaan, pinggiran, perpisahan dan dendaman cinta. Hal ini memperjelas bahawa cinta insani ialah suatu bentuk perasaan yang kompleks serta mempunyai nilai dan tafsiran yang relatif-subjektif bergantung kepada persepsi terlibat. Selain itu, kupasa juga dilakukan terhadap pemikiran dan tanggapan cinta masyarakat melalui pantun mukum yang bertemakan seni, pertiwi dan Ilahi.
I.0 Pengenalan
Bidang kebudayaan dan kesenian khususnya yang membabitkan bahasa, sastera dan budaya mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Dengan rempuhan teknologi siber dalam abad ke 21 bahan berkenaan mengalami perubahan bentuk yang ketara. Paling membimbangkan bahan-bahan berkenaan semakin sukar malah ada yang telah pupus ditelan zaman. Tokoh aktivis budaya semakin hari semakin berkurangan dan kegiatan yang berunsur hiburan tradisi lisan semakin terhakis di kalangan generasi muda. Puisi-puisi tradisional yang mengiringi kebanyakan persembahan kesenian tradisional seperti gendang Sarawak, lagu-lagu rakyat, permainan, tarian, upacara keagamaan dan ritual adat istiadat semakin terpinggir daripada pengucapan masyarakat. Hal ini amat merugikan kerana melalui puisi tradisional kita dihadapkan dengan pelbagai gambaran pemikiran dan falsafah hidup yang menjadi sumber dokumen budaya masyarakat setempat. Usaha mendokumentasi, menganalisis dan menafsir puisi berkenaan wajar dilakukan bermula dari sekarang, agar pemikiran masyarakat Melayu setempat dapat dibongkar dengan bijaksana dan saksama. Sehubungan itu, pantun atau mukun yang mengiringi persembahan Gendang Melayu Sarawak dipilih untuk menjadi bahan kajian.

I.2 Pernyataan Masalah
Kebanyakan khalayak berpendapat bahawa puisi, sementelahan lagi puisi tradisional termasuk pantun/ mukun sukar difahami atas sebab-sebab tertentu. Apakah sebab itu? Sejauh manakah kebenaran kenyataan ini ? Pembaca juga beranggapan bahawa diksi dan siratan makna katanya amat menyulitkan. Sejauh manakah tahap kesukaran bahasa pantun/ mukun tersebut?.
Genre puisi secara umum dikonsepsikan sebagai ‘the best word in their best order’. Sejauh manakah pantun/ mukun menepati konsep ini ?
Hasil kesusasteraan seperti pantun/ mukun adalah cerminan budaya masyarakat yang melahirkannya. Kebudayaan merujuk langsung kepada the way of life atau cara hidup dan pemikiran masyarakat. Penelitian terhadap pantun/ mukun membolehkan kita menyelami pemikiran dan falsafah hidup masyarakat. Apakah hal yang sering masyarakat fikirkan? Bagaimana persepsi masyarakat terhadap sesuatu hal yang berkaitan dengan kehidupan mereka? Bagaimana masyarakat menyelesaikan masalah yang mengganggu hidup mereka ?
Sesungguhnya puisi tradisional termasuk pantun/ mukun agak asing dan misteri bagi kehidupan masyarakat hari ini. Oleh itu satu kajian lapangan untuk menyelami kata dan makna puisi berkenaan wajar dilaksanakan demi membongkar falsafah pemikiran masyarakat di dalamnya.
1.3 Tujuan Kajian
1. Memahami seni persembahan Gendang Melayu Sarawak serta mukun / pantun;
2. Mendokumentasikan seni persembahan Gendang Melayu Sarawak serta mukun/ pantunnya sebagai bahan yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya Melayu tradisional di negeri Sarawak;
3. Meneliti keindahan bentuk, struktur dan bahasa puisi mukun/ pantun yang terkandung dalam persembahan Gendang Melayu Sarawak;
4. Menjelaskan isi, jalur, sikap, sifat dan falsafah pemikiran masyarakat setempat melalui mukun/ pantun yang mengiringi persembahan Gendang Melayu Sarawak, dan;
5. Membolehkan hasil penyelidikan digunakan untuk rujukan ilmu bagi pelajar, pensyarah dan masyarakat umum.
1.4 Soalan-soalan Kajian
1.4.1 Sejauh manakah benarnya keadaan ini jika dirujuk kepada pantun/ mukun yang mengiringi persembahan Gendang Melayu Sarawak?
1.4.2 Apakah aspek yang menimbulkan kesukarannya? Sejauh manakah tahap kesukaran bahasa puisi berkenaan?
1.4.3 Sejauh manakah keupayaan kreatif dan sentuhan imaginasi jiwa masyarakat pra-tulisan menzahirkan kata-kata yang dianggap puitis serta penuh falsafah pemikiran jika merujuk kepada mukun/ pantun yang mengiringi persembahan Gendang Melayu Sarawak?
1.4.4 Bagaimanakah bentuk jalur pemikiran cinta mengikut persepsi masyarakat setempat? Apakah warna dan rasa cinta mereka? Bagaimana pula kod etika dan taboo cinta mereka? Juga bagaimana kaedah menyelesaikan kemelut cinta mereka ?

1.5 Batasan Kajian
Bahan dibataskan kepada 110 rangkap mukun atau pantun lisan hasil rakaman audio-visual di lapangan terus dari mulut informan terlibat sewaktu acara bergendang sedang berlangsung. Juga mukun yang diucapkan semula secara bebas oleh Seh Gendang, orang dara dan penopeng; yakni mukun-mukun yang biasa dilagukan atau didengar mereka sewaktu persembahan bergendang.
Bahan yang dikaji juga hanya dibataskan kepada mukun atau pantun yang berhubungan dengan pemikiran cinta.
Bentuk mukun yang dikaji terhad kepada mukun 4 kerat atau 4 baris serangkap.
Bahan juga dibataskan kepada mukun yang didapati daripada 5 kumpulan gendang Sarawak yakni Kumpulan Gendang Melayu Sarawak Kg. Sija’e Sadong Jaya, Kumpulan Gendang Melayu Sarawak Kg. Lamanat Sri Aman, Kumpulan Gendang Melayu Asli Sarawak (GEMAS) Kuching, Kumpulan Gendang Melayu Sarawak Rumah Melayu Kampung Budaya dan kumpulan persembahan kesenian gendang Sarawak sempena Sambutan Ulangtahun Yang Dipertua Sarawak di Sri Aman.
Aspek pemikiran juga dibataskan hanya kepada penelitian terhadap gambaran pemikiran yang merangkumi tema, persoalan serta perasaan dalam mukun atau pantun.
2.0 Metodologi Kajian
Prosedur pelaksanaan kajian meliputi reka bentuk dan kaedah kajian; rasional pemilihan pendekatan kajian kualitatif; penentuan dan pemilihan bahan serta informan; tempat dan tempoh kajian, dan prosedur pengumpulan dan penganalisisan data bagi menjawab soalan-soalan kajian. Pelaksanaan pendekatan kualitatif tidak menetapkan suatu prosedur standard yang dapat memenuhi jangkaan dan keperluan semua pihak kerana prosedurnya banyak bergantung kepada tujuan dan konteks kajian (Merriam : 1994). Untuk itu kajian ini meneliti interaksi bahan (puisi mukun/ pantun) melalui gabungan perspektif penyelidikan ethnometodologi dan etnografi. Perspektif ini meneliti struktur dan bentuk yang mendasari proses pelaksanaan interaksi bahan (mukun/ pantun) untuk “memahami budaya bahan dan persekitaran – dengan makna dan nilai masyarakat yang terlibat dan penelitian khusus yang teliti terhadap apa yang dikatakan oleh bahan dan bagaimana masyarakat menafsir makna” (MacLure 1994: 145).
2.1 Tempat Kajian
Kajian ini melibatkan tiga daerah utama di Sarawak iaitu Kuching (sekitar Kuching), Sadong Jaya (Kg. Sija’e) dan Sri Aman (Kg. Lamanat); RTM Sarawak, Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak, Kampung Budaya Sarawak, Pejabat Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak, dan; di rumah informan di Jalan Kulas Utara, Kuching.
2.2 Bahan dan Informan Kajian
2.2.1 Bahan Kajian
Bahan yang dipilih adalah puisi tradisional, iaitu pantun atau mukun yang dipersembahkan oleh informan dan kumpulan-kumpulan yang terlibat. Sejumlah 110 rangkap mukun/pantun telah dirakamkan untuk dianalisis.
2.2.2. Informan Kajian
Seramai 11 orang informan khusus dipilih meliputi penggiat kesenian, mereka yang bergiat secara langsung dalam seni bergendang dan bermukun (seperti Seh Gendang dan penandak) serta pihak yang bertanggungjawab memulihara seni Gendang Melayu Sarawak. Mereka adalah En. Deo, Tn. Hj. Latif, En. Ahmad, Pn. Rainah, En. Dae, Pn. Domin, Pn. Oyah, En. Abdillah, Tn. Hj. Kamil, Cik Norlia dan Tn. Hj. Bujang.
2.3 Tempoh Kajian
Kajian terbahagi kepada tiga fasa. Fasa 1 adalah tinjauan awal tentang lokasi, informan dan penyebaran bahan kajian pada bulan November 2000. Fasa II adalah sesi mereka bentuk, memantap dan memurnikan kertas cadangan berlangsung selama setahun, iaitu sepanjang tahun 2001. Fasa III adalah fasa pelaksanaan kajian yang dijalankan sepanjang tahun 2002.
2.4 Kaedah Pengumpulan Data

2.4.1 Pemerhatian
Pemerhatian awal dilakukan untuk tujuan tinjauan tentang konteks kajian seperti keadaan persekitaran masyarakat, lokasi, keadaan alatan bahan, peraturan atau ritual yang mungkin mengiringi pengucapan puisi berkenaan. Pemerhatian seterusnya adalah pemerhatian sebenar, berfokus kepada usaha untuk memperoleh data bagi menghuraikan persoalan kajian.
2.4.2 Temu bual Mendalam
Temu bual dilakukan dalam dua peringkat iaitu temu bual awal, untuk meredakan keadaan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran/ informan. Pada keadaan perlu, penyelidik menemu bual secara retrospektif bertujuan untuk melengkapi dan mengesahkan data pemerhatian melalui perspektif informan atau masyarakat sekitar tentang pelakuan dan pemikiran mereka terhadap bahan kajian.
2.4.3 Rakaman Audio-Visual
Tradisi penggunaan rakaman audio visual sebagai alat kajian untuk mengumpulkan data tradisi lisan bagi kajian lapangan sudah lama menjadi amalan penyelidik kesusasteraan Melayu terutama sastera Melayu tradisional.
2.5 Transkripsi teks
Semua teks tulisan tangan dan teks lisan audio-visual yang dipungut akan disimpan dan direkodkan mengikut garis panduan prosedur kajian tradisi lisan lapangan (Taib Osman,1976; Fennigen,1977; Zumthor, 1990). Untuk kerja menterjemah dan mentranskripsi teks dari bahasa natif ke bahasa Melayu penyelidik akan menggunakan khidmat beberapa orang pembantu penyelidik dan penterjemah yang pakar serta berpengetahuan dalam bahasa serta budaya masyarakat Melayu Sarawak.

3.0 Kaedah Penganalisisan Data
Penganalisisan data melalui dua peringkat proses iaitu semasa dan selepas pengumpulan data. Kekerapan kemunculan kategori tertentu menjadi asas untuk membina rumusan kajian.
4.0 Kesimpulan

Kesimpulan kajian ini menghujah dan membuktikan beberapa hal yang menarik mengenai pemikiran cinta bermukun dalam Gendang Melayu Sarawak.
1. Pantun atau mukun yang digubah menjadi beberapa irama lagu dalam seni Gendang Melayu Sarawak sebahagian besarnya berlegar pada pemikiran cinta, sama ada dalam maksud tersurat mahu pun tersirat. Hal ini terjadi kerana fungsi utama seni bergendang adalah untuk hiburan santai. Dengan itu pemikiran terhadap cinta, kasih dan sayang sememangnya berupaya mengendurkan tegangan jiwa dan menghibur hati.
2. Pantun-pantun yang berlandaskan pemikiran cinta, walaupun digambarkan agak sederhana, ringan dan menghiburkan, namun isinya berupaya mendukung nilai, falsafah, peradaban dan etika masyarakat yang melahir dan mewarisinya. Analisis bahan secara tersirat membuktikan betapa pesta metafora, kias dan ibarat alam yang menghadiahkan nuansa yang tepat dan indah bagi menggambarkan pemikiran masyarakat.
3. Walaupun pantun yang dikutip berbentuk asli lisan, dikutip daripada lapangan dan langsung dari mulut informan, namun ciri keindahan puisinya jelas terbayang pada diksi, irama dan isi pemikirannya; meletakkan pantun-pantun cinta sebagai contoh bahan terbaik dalam rangka puitika sastera khasnya ke arah pembentukan teori estetika kesusasteraan Melayu.
4. Dalam menanggapi konsep cinta dalam mukun, isi pemikirannya tidak hanya berkait dengan hubungan perasaan antara insani terutama mainan rasa teruna – dara atau lelaki perempuan. Tapi konsep cinta boleh diperluas merangkumi hubungan antara manusia-kebudayaan, manusia – kenegaraan, manusia – keagamaan/ ke Tuhanan. Dengan ini khalayak akan dapat memahami serta menggambarkan betapa mendalam dan luasnya ruang dan latar perasaan cinta yang dianugerahi Allah kepada manusia.
5. Perasaan cinta adalah fatamorgana. Hal ini berkait dengan hati, akal, fikir dan rasa. Seringkali seseorang tidak dapat menggambarkan bahkan memberikan erti pada makna cinta itu baik dengan lukisan atau susunan kata. Kerana itulah ditemui pelbagai ragam metafora, kias dan ibarat dalam rangkap pantun cinta hanya untuk menggambarkan pemikiran cinta manusia. Metafora itu diangkat daripada alam sama ada alam buana atau alam dirgantara. Tidak semestinya yang indah dan manis, malah kerap kedapatan yang kelam, buruk dan busuk yang memberikan nilai estetik terhadap rasa cinta serta pantun itu sendiri.
6. Wajar dicatatkan bahawa pemikiran cinta dalam pantun/ mukun ini, umumnya merupakan gambaran world view (weltanshaung) masyarakat. Mukun mengutarakan falsafah tersirat yang menjalinkan perkaitan rapat rasa cinta antara manusia – alam – Tuhan. Manusia adalah sebahagian daripada alam. Kenyataan ini bukan hanya berita Allah, malah mitos budaya dalam seluruh kelompok peradaban manusia memperakuinya.
5.0 Cadangan
Kajian ini menggabungkan dua bahan. Gendang Melayu Sarawak adalah bahan seni muzik- budaya sementara pantun/ mukun merupakan bahan sastera-bahasa. Bahan ini difikirkan wajar dan sesuai menjadi bahan pendedahan mahupun pengajaran di bilik darjah atau kegiatan kokurikulum sama ada di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi malah di premis-premis kebudayaan. Beberapa cadangan disarankan untuk pengembangan dan pemuliharaan serta kewajaran penggunaannya terutama dalam konteks pengajaran-pembelajaran.
1. Seni Gendang Melayu Sarawak wajar dijadikan komponen aktiviti kokurikulum di sekolah atau institusi pengajian tinggi seperti maktab perguruan. Hal ini demikian, kerana seni tersebut menggabungkan dua kemahiran iaitu kemahiran muzik (memukul gendang dan menyanyi) dan kemahiran sastera-bahasa (mencipta dan melafaz pantun secara spontan). Seni tersebut merupakan medan sesuai untuk melatih pelajar mencipta dan melafazkan pantun dengan yakin, bersahaja dan spontan.
2. Dokumentasi bahan wajar dilakukan. Dokumentasi boleh dilakukan dalam bentuk audio-visual dan catatan bertulis. Ini kerana kebanyakan seniman rakyat yang mewarisinya sudah lanjut usia. Andai tiada sebarang usaha dilakukan, bahan ini dikhuatiri pupus dan masyarakat Melayu akan kehilangan satu lagi khazanah seni yang menghiburkan.
3. Pemuliharaan dan pengembangan juga perlu dibuat. Hal ini boleh dilakukan dengan mewujudkan kelab di peringkat sekolah, memberikan latihan dengan bimbingan pakar yang masih ada serta mengadakan pertandingan peringkat sekolah, daerah mahupun negeri. Dengan ini diharapkan khalayak yang menganggotai, mengenali dan meminati seni persembahan ini akan bertambah dan pelbagai.
4. Pendedahan seni persembahan ini kepada pelajar difikirkan dapat memberikan manfaat pembelajaran sastera-bahasa kepada mereka. Latihan bermukun/ berpantun yang mengiringi irama Gendang Melayu Sarawak memberikan ruang dan keyakinan diri kepada pelajar untuk memahirkan mereka mencipta dan melafazkan pantun dengan cekap dan cepat. Dengan iringan muzik, aktiviti ini tentunya lebih menarik, mencabar dan tidak membosankan. Suasana pengajaran-pembelajaran sastera-bahasa akan lebih ceria dan bermakna.
5. Kebanyakan pantun cinta yang direkodkan dalam kajian ini menepati ciri keindahan dan estetika pantun yang baik. Pemilihan kata dan citra sama ada di bahagian pembayang mahupun maksud begitu memikat. Malah pada pantun-pantun tertentu imegerinya membayangkan koda budaya dan unsur pewarnaan setempat yang boleh membantu pelajar mengenali budaya masyarakat Malaysia yang pelbagai. Oleh itu, latihan bermukun berupaya memaksimumkan kemahiran berfikir pelajar kerana pelajar akan berusaha mencipta pantun yang baik dan indah dari segi kata-kata dan isi pemikirannya. Di samping itu latihan ini melatih pelajar menjadi lebih kreatif dan kritis.
6. Pemikiran pantun seharusnya melambangkan budi dan peradaban masyarakat yang halus. Pantun-pantun cinta yang dianalisis dipenuhi dengan nilai-nilai murni peradaban bangsa Melayu yang menjadi teras kebudayaan Malaysia. Dengan meneliti pantun cinta dalam bermukun semua nilai murni yang digariskan dalam kurikulum pendidikan seperti kasih sayang, gigih, baik hati, rela berkorban, rasional dan lain-lain wujud sama ada secara langsung atau tidak langsung. Hal ini adalah selaras dengan aspirasi pendidikan negara. Dengan ini pelajar diharapkan berupaya memahami dan menghayati dasar dan falsafah pendidikan kebangsaan dengan lebih mudah dan bermakna.
7. Sungguhpun pemikirannya berkisar pada cinta, namun pantun-pantun yang dirakam dan dianalisis dalam kajian ini tidak menggambarkan cinta erotis yang menjadi taboo dalam etika moral Melayu. Isi pemikiran cinta yang terkandung dalam bahan kajian ini difikirkan wajar digunakan terutamanya oleh pelajar menengah atas dan institusi pengajian tinggi seperti maktab perguruan. Secara psikologi di peringkat umur remaja seperti itu sama ada sedar atau tidak pelajar ini sangat terdedah dengan kemelut cinta remaja. Ramai yang akhirnya kecundang dalam pelajaran malah kehidupan akibat tiada bimbingan untuk mewaraskan dan mewajarkan saluran perasaan cinta berkenaan. Dengan bimbingan guru, bahan kajian ini dirasakan boleh memberikan manfaat untuk guru-guru membimbing mereka melahirkan perasaan cinta secara sihat. Banyak nasihat dan pedoman berguna sama ada secara langsung atau tidak langsung tersirat di sebalik pemikiran pantun cinta ini.
Pengkaji mengharapkan khalayak dapat menerima cinta dengan konsep yang terbuka. Cinta yang indah dan mulus harus digandingkan dengan pemikiran yang objektif tanpa prasangka buruk. Manusia dicipta seindah kejadian. Dan yang mengindahkan kejadian manusia adalah rasa cinta itu sendiri. Rimba misteri cinta yang kompleks itu harus ditangani sewajarnya bagi menjamin kelangsungan tamadun insan yang bermaruah.

Bibliografi

Abdul Halim Othman, 1993. Psikologi Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
Abdul Rahman Abdul Aziz, 2002. Pemikiran Etika Hamka. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors.
Abdul Rahman Hj. Abdullah, 1995. Falsafah Alam Semesta Dalam Sejarah Tauhid Melayu. Petaling Jaya: Acces Infotech.
Abdillah Mat Nor, 2002. Temu bual di lapangan. 18 September.
Ahmad Bakar, 2002. Temubual di lapangan. 12 September.
Karim Hj. Abdullah, 1991. Himpunan Pantun Pak Zek Budayawan Dato Haji Zakaria Hitam. Petaling Jaya : Bukuraya Media.
Alisjahbana, S.Takdir, 1971. Puisi Lama. Petaling Jaya: Zaman Baru Limited.
Anwar Rithwan et al., 1990. “Pantun Sarawak” dlm. Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Lisan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Anwar Ridhwan & Rahman Shaari, 1987. Sinaran Permata. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Hj. Omar, 1993. Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bujang Abdullah, Hj., 2000. Temu bual di lapangan. 18 November.
Braginsky, V.I., 1994. Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Braginsky, V.I. 1996. Nada-Nada Islam dalam Sastera Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dae Rahmat, 2002. Temu bual di lapangan. 11 September.
Daille, Francois-Rene, 1990. Alam Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Deo Hj. Kahar & Kumpulan Gendang Melayu Sarawak Kg. Sija’e Sadong Jaya Sarawak, 2002. Temu bual di lapangan. 10 September.
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996. Sekalung Budi Seuntai Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka & Universiti Sains Malaysia, 2002. “CD Rom Kumpulan Kertas Kerja”. Seminar Antarabangsa Pantun. Kuala Lumpur : Hotel Istana, 1- 3 Julai.
Domin & Oyah, 2000. Temu bual di lapangan. 18 November.
Fennigen, Ruth., 1977. Oral Poetry – its Nature, Significance and Social Context. Cambridge : Cambridge University Press.
Harun Mat Piah, 1989. Puisi Melayu Tradisional: Satu Permbicaraan Genre dan Fungsi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah (ed), 2001. Karya Agung Pantun Melayu Bingkisan Permata. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan.
Hassan Ahmad, 2002. Imbasan. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hassan Ahmad, 2002. “Memperkasakan Tamadun Melayu”. Persidangan Teori dan Pemikiran Melayu Serantau. Tanjung Balai : Karimun, 12-14 Disember.
Ismail Hussein, 1993. Antara Dunia Melayu Dengan Dunia Kebangsaan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jeniri Amir, 2002. “ Pantun Melayu Sarawak: Komunikasi Melalui Implikatur”. Seminar Antarabangsa Pantun. Kuala Lumpur: Hotel Istana, 1-3 Julai.
Kamaruzzaman A. Kadir, 1989. Bunga Gerimis. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
Kamil Abdul Rahman, Hj., & Kumpulan Gendang Melayu Asli Sarawak (GEMAS) Kuching Sarawak, 2000. Temu bual di lapangan. 17 November.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Hati Terkenang Mulut Menyebut. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Antologi Kerusi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Anak Laut. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Seuntai Kata Untuk Dirasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Sehijau Warna Daun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001. Anak Bumi Tercinta. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khadijah Hashim, 1999. 1001 Pantun Baru. Shah Alam : K Publishing.
Latif Abdullah, Hj., & Kumpulan Gendang Melayu Sarawak Kg. Lamanat Sri Aman Sarawak, 2002. Temu bual di lapangan. 13 September.
MacLure, M., 1994. “ Talking in Class : Four Rationales for the Rise of Oracy” dlm. Steirer, B. & Maybin, J. (pnyt.) Language, Literacy and Learning in Educational Practice, hlm. 139 – 156. Cleredon: Multilingual Matters.
Majlis Peperiksaan Malaysia, 2000. Warna Sari Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Penerbit Fajar Bakti.
Merriam, S., 1994. Qualitative Research Design. London: University Press.
Mohd. Fauzi Abdullah,1998. “Pantun: Satu Analisis Semiotik” dlm. Dewan Sastera. Feb. hal. 23-28.
Mohd. Fauzi Abdullah, 1998. “Etika Pemikiran Masyarakat Melayu Tradisional dalam Lagu Rakyat Pahang” dlm. Dewan Sastera. Mei, hal. 42-48.
Mohd. Taib Osman, 1976. Panduan Pengumpulan Tradisi Lisan Malaysia. Kuala Lumpur : Malindo.
Mohd. Yusof Md. Noor & Abd. Rahman Kaeh (ed.), 1985. Puisi Melayu Tradisi. Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti.
Muhammad Hj. Salleh, 1986. Cermin Diri. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Muhammad Hj. Salleh, 1988. Pengalaman Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Hj. Salleh, 1992. Puitika Sastera Melayu Suatu Pertimbangan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhammad Hj. Salleh, 1997. “Perayaan Metafora Kias dan Ibarat di Pentas Pantun” dlm. Malaysian Writer Awardee of The S.E.A. Write Awards Muhammad Hj. Salleh. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Hj. Salleh, 1999. “ Estetika Pantun Melayu “ dlm. Menyeberang Sejarah: Kumpulan Esei Pilihan Sasterawan Negara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hal. 165 -191.
Muhammad Hj. Salleh, 2000. Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Hj. Salleh, 2002. “Ghairah Dunia Dalam Empat Baris; Pantun Sebagai Bentuk Bersama”. Ucap Utama Seminar Antarabangsa Pantun. Kuala Lumpur: Hotel Istana, 1-3 Julai.
Norlia Ahmad, 2002. Temu bual di lapangan. 12 September.
Rahman Shaari, 1991. Lukisan Zaman. Shah Alam: Marwilis Publisher.
Rahman Shaari & Siti Zainon Ismail (ed.), 1995. Langit di Tangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rainah Kawi, 2002. Temu bual di lapangan. 11 September.
Affendi Haji Khalik, 2000. “ Bergendang Sarawak” dlm. Dewan Budaya, Jun: hal. 36-37.
Safian Hussain et al., 1988. Glosari Istilah Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Seyyed Hossein Nasr, 1933. An Introduction to Islamic Cosmological Doctrines. Terjemahan. Baharuddin Ahmad, 1992. Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hawa Haji Salleh, 1997. Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sohaimi Abdul Aziz, 1997. Rasa Fenomenologi; Penerapan Terhadap Karya A. Samad Said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Arabi Idid, 1998. Kaedah Penyelidikan Komunikasi dan Sains Sosial. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syeikh Othman Sheikh Salim et al., 1997. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tuah Matnor (ed.), 2002. Gendang Melayu Sarawak. Kuching: Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak.
Wilkinson, R.J., & Winstedt, R.O., 1961. Pantun Melayu. Singapura. Malaya Publishing House.
Za’ba, 1962. Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicetak semula dengan edisi ejaan rumi baharu dengan pengenalan oleh Asmah Hj. Omar, 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zainal Abidin Bakar (ed.), 1984. Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zakaria Awang Soh, 1994. Kecanggihan Alam Semesta: Antara Wahyu Dengan Pengetahuan Sains. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zumthor, Paul., 1990. Oral Poetry – an Introduction. Minnesota: University of Minnesota Press.