Category Archives: KAJIAN TINDAKAN/PENYELIDIKAN

Contoh Proposal

Standard

KEBERKESANAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
KURSUS SIMPANKIRA DI KALANGAN PELAJAR
PROGRAM KEMAHIRAN HIDUP
(UPSI)

BAB 1

PENDAHULUAN

Pengenalan
Di dalam bab ini pengkaji akan membincangkan mengenai latar belakang sejarah penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam bidang pendidikan dan kepentingannya kepada para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi. Seterusnya pengkaji menjurus kepada penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan yang menjadi fokus kajian ini. Pernyataan masalah bagi kajian ini diperjelaskan berserta dengan objektif kajian, Hipotesis Kajian, kepentingan kajian, batasan kajian, kerangka konseptual, Definisi Operasional dan Kesimpulan.

1.1 Latar Belakang Kajian
Perkembangan dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) kini dilihat semakin rancak berkembang sejajar dengan perkembangan arus pemodenan dunia tanpa sempadan (globalisasi). Menurut Buyong (2002), cabaran dunia pendidikan dalam meneroka dan mengaplikasikan ICT melalui pendekatan-pendekatan yang berkesan telah membawa para pengajar dan pelajar mengenali dan seterusnya mempraktikkannya mengikut kesesuaian bidang yang diingini. Keberkesanan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dilihat seawal peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah sehingga ke institusi pendidikan tinggi.

Di Malaysia perkembangan penggunaan TMK di kalangan masyarakatnya dilihat suatu yang positif di mana ia telah menggalakkan semua lapisan masyarakat berlumba-lumba untuk melengkapkan diri dengan ilmu TMK. Namun demikian masih ada golongan atau pihak yang memandang remeh dan tidak mengendahkan perkara ini kerana mereka beranggapan penggunaan TMK tidak penting dalam kehidupan harian. Dalam usaha mengikis tanggapan negatif segelintir masyarakat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah seperti kempen satu rumah satu komputer serta membenarkan wang KWSP dikeluarkan untuk membeli komputer. Ini bertujuan untuk memastikan masyarakat Malaysia tidak ketinggalan dalam arus teknologi yang serba canggih.

Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah mengambil langkah awal dengan memperkenalkan pelbagai program seawal sekolah rendah dalam usaha untuk memperkenalkan dan mendedahkan penggunaan TMK di kalangan generasi muda. Antara program tersebut ialah Program PPSMI, sekolah bestari, komputer dalam pendidikan, my-schoolnet, Pusat Akses, portal my-GFL (Malaysian Great For Learning) dan portal EDUWEBTV. Ini kerana mereka merupakan generasi akan datang yang diharap dapat menjadi generasi celik TMK yang cemerlang. Maka dengan itu, wujudlah istilah pendidikan dan TMK yang sering dilaung-laungkan Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini dibuktikan dengan petikan kata-kata dari Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein:

‘kementerian ini sentiasa mencari jalan terbaik bagi menyahut hasrat kerajaan untuk memajukan bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam pendidikan’

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga dilihat telah banyak mengaplikasikan penggunaan TMK dalam P&P. Secara umumnya, proses P&P yang dijalankan di UPSI masih menggunakan cara tradisional iaitu kuliah syarahan dan tutorial namun TMK memainkan peranan penting sebagai alat bantu mengajar dan belajar yang serba canggih dan lebih berkesan daripada pendekatan ’Paper & Chalk’. Coleman dan J. Nicholas et. al(1998), berpendapat teknologi yang digunakan adalah sebagai alat bantuan mengajar dan bukannya sebagai pengganti guru, pensyarah, pengajar atau pelajar. Dengan ini jelaslah penggunaan TMK dalam P&P bererti menggunakan teknologi maklumat secara efisien, terancang dan bersesuaian dengan objektif pengajaran dan pembelajaran untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan P&P. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan membincangkan keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup di UPSI.

1.2 Penyataan Masalah
Teknologi Maklumat boleh memberikan impak signifikan terhadap keberkesanan, kecekapan dan produktiviti di dalam aktiviti yang dijalankan. Pada pendapat pengkaji, faktor-faktor tertentu dapat mempengaruhi keberkesanan tersebut. Antaranya ialah pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi.

Dalam faktor pengurusan, pengkaji memfokuskan kepada kecekapan pengurusan Fakulti Perniagaan dalam mengendalikan kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan yang ditawarkan kepada pelajar Program Kemahiran Hidup dan aktiviti yang lain bagi memastikan setiap pelajar Kemahiran Hidup mampu memperoleh pengetahuan tentang teknologi maklumat. Menurut Nasrollah Ahadiat (2005) dalam jurnal ‘Factors that May Influence or Hinder Use of Instructional Technology Among Accounting Faculty’, Association to Advance Collegiate Schools of Business menyatakan pentauliahan memerlukan teknologi pengajaran yang bersesuaian yang disediakan oleh fakulti perniagaan.(AACSB International,1993).

Selain itu, penggunaan komputer yang meluas serta perkembangan sains dan teknologi maklumat hari ini banyak memberikan manfaat kepada para pensyarah seperti mempelbagaikan alat bantu mengajar (ABM), merekod serta menyimpan maklumat pelajar dan sebagainya. ABM yang berasaskan TMK dapat meningkatkan minat pelajar di samping meningkatkan kefahaman pelajar. Namun, Norazen, Hassan dan Mohd Ruzman dalam kajian ‘Tahap Kompetensi Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran’, menyuarakan terdapat satu cabaran penting yang perlu dihadapi iaitu kesediaan dan kompetensi pensyarah mengaplikasi dan mengintegrasi teknologi maklumat dalam pengajarannya. Dalam erti kata lain, faktor pengetahuan dan kemahiran pensyarah atau tenaga pengajar menyampaikan ilmu pengetahuan turut menjadi ukuran kepada keberkesanan Teknologi Maklumat dan Komunikasi di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup.

Seperti yang kita sedia maklum pelajar Universiti merupakan kumpulan pelajar yang perlu menghasilkan pelbagai bentuk tugasan yang ditentukan oleh pensyarah sepanjang pengajian mereka. Pelajar Program Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan juga tidak terkecuali menghadapi situasi sebegini. Dalam jangka masa yang terhad mereka perlu menyiapkan setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Pada hari ini, sekiranya para pelajar menggunakan teknologi komputer, khususnya perisian seperti Microsoft Word, Excel, PowerPoint Presentation, SPSS, UBS Accounting dan sebagainya sudah tentu tugasan mereka dapat disiapkan dengan cekap, pantas dan tepat. Dalam kajian ‘Computer Based Accounting Education Techniques: A Response to A Dynamic Information Technology Environment’ oleh Kathie Cooper dan Vivienne Coomb (2004), teknologi ‘Computerized Assessment’ dalam Computer Managed Learning (CML) membolehkan pelajar merekodkan urusan kemasukan jurnal, lembaran kerja dan penyata kewangan. Justeru itu, faktor teknologi juga dilihat mampu memainkan peranan yang penting dalam memastikan keberkesanannya di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan.

Berdasarkan kepada apa yang dinyatakan di atas maka satu kajian mengenai keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup perlu dijalankan. Kajian ini perlu dijalankan bagi memastikan keempat-empat faktor yang dinyatakan benar-benar dapat meningkatkan keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup.

1.3 Objektif Kajian
Di dalam objektif kajian ini, pengkaji ingin melihat sejauhmana faktor-faktor yang terlibat dapat mempengaruhi keberkesanan penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup. Kajian ini dijalankan berdasarkan kepada objektif-objektif berikut :

1.3.1 Untuk mengenalpasti peranan TMK dalam keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan.

1.3.2 Untuk mengenalpasti sejauhmana penggunaan TMK dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan yang ditawarkan kepada pelajar Kemahiran Hidup oleh Fakulti Perniagaan.

1.3.3 Untuk melihat hubungan di antara penggunaan teknologi maklumat dengan keberkesanannya dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan.

1.3.4 Untuk menilai tahap pengetahuan pelajar dalam bidang teknologi serta korelasinya dengan penggunaan TMK di kalangan pelajar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan bagi Program Kemahiran Hidup.

1.3.5 Untuk melihat adakah kemahiran penggunaan teknologi yang mencukupi di kalangan pelajar Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan dapat menyumbang kepada keberkesanan penggunaan TMK dalam pembelajaran.

1.4 Hipotesis Kajian
Beberapa hipotesis telah dibangunkan bagi menjawab persoalan yang akan dikaji untuk mengetahui keberkesanan penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran Kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar UPSI:

1.4.1 Pengurusan fakulti yang efisien dan sistematik akan memberi kesan positif terhadap keberkesanan penggunaan TMK di kalangan pelajar.

1.4.2 Pengetahuan yang mencukupi dalam bidang TMK akan membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

1.4.3 Kemahiran yang ada dalam penggunaan TMK dapat meningkatkan keberkesanan pelajar khususnya dalam mengendalikan peralatan teknologi.

1.4.4 Teknologi dapat memudah dan meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

1.5 Kepentingan Kajian
Menurut Amir Hassan Dawi (2006), kepentingan kajian bermaksud apakah kajian berkenaan berguna kepada mana-mana pihak. Setiap kajian yang dijalankan selalunya mempunyai motif-motif tertentu atau untuk kepentingan pihak tertentu. Kajian ini dijalankan bagi mengkaji faktor yang mempengaruhi keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam kajian ini, faktor yang dikaji adalah meliputi aspek pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi. Aspek-aspek ini dianggap sebagai tunjang utama kepada pengkaji bagi mengukur sejauh mana keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan khususnya di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup dapat ditingkatkan. Justeru itu, dengan adanya kajian seumpama ini, diharapkan ia dapat menarik pihak-pihak yang terlibat seperti Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia, pihak Institusi Pengajian Tinggi, pensyarah dan pelajar bagi bersama-sama memperbaiki kelemahan di samping mempertingkatkan lagi kecekapan yang ada bagi mempersiapkan diri pelajar yang bakal menempuh alam pekerjaan yang lebih kompetitif dan mencabar pada masa hadapan.

Dalam pada itu, kajian ini juga berguna kepada pihak institusi pendidikan untuk memberi penekanan kepada beberapa ciri-ciri utama bagi setiap aspek bagi mengoptimumkan penggunaan TMK seperti yang diharapkan oleh semua pihak. Seterusnya, kajian ini juga diharapkan dapat mewujudkan kesedaran di kalangan pensyarah, pelajar dan institusi pendidikan tinggi tentang betapa pentingnya TMK untuk di aplikasikan dalam kehidupan seharian. Akhir sekali, hasil kajian ini diharapkan dapat memberi gambaran dengan jelas serta dapat dijadikan garis panduan yang berguna kepada semua pihak untuk meningkatkan lagi prestasi pengajaran dan pembelajaran serta mutu perkhidmatan dengan berbekalkan kemudahan dan kecanggihan teknologi yang ada bagi memastikan tahap keberkesanan dan kompetensi dapat dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi manfaat pada masa hadapan.

1.6 Batasan Kajian / Skop Kajian
Menurut Amir Hasan Dawi (2006), batasan kajian memberitahu tentang had-had atau ‘kekurangan’ kajian. Dalam kajian ini, penyelidik membataskan kajian kepada perkara-perkara tertentu sahaja supaya skop kajian tidak terlalu luas. Batasan-batasan kajian meliputi tempat kajian, sampel kajian, aspek kajian yang dipilih serta masa kajian yang digunakan. Tempat kajian yang dilakukan adalah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak. Kajian ini hanya terbatas kepada pelajar-pelajar Program Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan sahaja bagi semester empat. Bagi semester tersebut, pengkaji akan memilih 60 orang pelajar daripadanya secara rawak untuk dijadikan sampel kajian. Oleh itu, jumlah keseluruhan sampel kajian adalah sebanyak 60 orang responden sahaja.

Selain itu, terdapat faktor lain yang boleh digunakan bagi mengukur tahap keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan. Akan tetapi, kajian ini hanya memfokuskan kepada beberapa aspek iaitu aspek pengurusan, pengetahuan, teknologi, dan kemahiran.

1.7 Kerangka Konseptual

Rajah 1 : Modifikasi Faktor yang Mempengaruhi Penggunaan Teknologi Instruksional

Berdasarkan kepada rajah di atas, empat faktor diatas menjadi fokus dalam kajian ini, iaitu faktor pengurusan, faktor kemahiran, faktor teknologi dan faktor pengetahuan. Pernyataan masalah dan Objektif kajian berdasarkan kepada rajah diatas. Faktor diatas akan diterangkan dalam bab seterusnya.

1.8 Definisi Operasional
Merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), keberkesanan ditakrifkan sebagai perihal berkesan, atau berkesannya sesuatu tindakan atau perubahan; sesuatu tindakan itu dapat dilihat daripada hasil yang diperoleh sesudahnya. Manakala, penggunaan pula didefinisikan sebagai perihal perbuatan atau kegiatan menggunakan sesuatu. Selain itu, menurut Kamus Dewan juga pengajaran bermaksud perihal mengajar, segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar seperti cara atau sistem mengajar.

Ahmad Fuad (2003), dalam kajian ‘Kesan Efikasi Kendiri Guru Sejarah Terhadap Amalan Pengajaran Berbantukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)’ oleh Azwan Ahmad, Abdul Ghani, Mohamad Zohir et al (2005), menyatakan dalam konteks pendidikan, teknologi maklumat merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai maklumat secara efektif, pantas dan banyak bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

Ting Kung Shing (2007) dalam kajian ‘Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor’ pula, menyatakan pembelajaran elektronik atau lebih dikenali sebagai e-learning adalah merupakan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi bagi memudahkan cara pembelajaran. Dalam kajian itu juga pembelajaran ditakrifkan sebagai sebarang perubahan tingkah laku hasil daripada pengalaman yang menyebabkan seseorang menghadapi situasi sesudah itu dengan cara yang berlainan (Gagne, 1970). Dalam kajian yang sama juga Morgan (1995) mendefinisikan pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku dari segi perasaan, pemikiran dan tindak balas kesan daripada pengalaman yang berlaku pada pelajar melalui sistem pendidikan secara formal di sekolah. Seterusnya, Eh (1994) dalam kajian tersebut, berpendapat pembelajaran dikatakan telah berlaku apabila seseorang individu telah berjaya mengaitkan pengetahuan baru dengan pengetahuan yang sedia ada padanya.

Selain itu, Ting Kung Shin (2007) dalam kajian ‘Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor’, mentakrifkan E-pembelajaran sebagai pendekatan pembelajaran di mana pendidikan, latihan dan maklumat yang berstruktur disepadukan dan disampaikan oleh komputer melalui Internet khususnya web, atau dari cakera keras, CD ROM, storan mudah alih berkeupayaan tinggi atau melalui sistem jaringan organisasi (Jamaludin Mohaiadin, 2000). Seterusnya dalam kajian yang sama Victor Jeurissen (2004) mendefinisikan e-pembelajaran sebagai penggunaan teknologi berinovasi dan model pembelajaran yang dapat menukarkan cara seseorang dan juga organisasi memperolehi kemahiran dan menambah pengetahuan yang baru. Bagi beliau pembelajaran merupakan satu kerja secara berkumpulan yang melibatkan pertukaran penggunaan maklumat iaitu berinteraksi secara perseorangan atau di dalam kumpulan.

1.9 Kesimpulan
Di dalam bab ini pengkaji telah menjelaskan latar belakang Teknologi Maklumat dan komunikasi dalam bidang pendidikan di Malaysia serta hubungan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dengan pengajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar IPT. Seterusnya, beberapa isu yang wujud dalam mempengaruhi keberkesanan penggunaan teknologi turut dikemukakan bagi menyokong permasalahan kajian ini. Tumpuan diberikan kepada empat faktor utama yang menyumbang kepada keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan iaitu pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi. Akhir sekali pengkaji mengemukakan pernyataan masalah, objektif kajian, hipotesis kajian, kepentingan kajian, batasan yang dihadapi dan kerangka konseptual. Pengkaji turut menjelaskan beberapa istilah dalam kajian ini supaya tidak berlaku kesilapan tafsiran terhadap beberapa perkataan dalam tajuk penyelidikan ini.

BAB 2

TINJAUAN PUSTAKA

Pengenalan
Di dalam bab ini, pengkaji membuat tinjauan kajian-kajian lepas berkenaan dengan faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup. Tinjauan kajian memberi tumpuan kepada empat faktor utama iaitu pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi. Di samping itu, pengkaji juga cuba mengenal pasti faktor-faktor lain yang dapat menyumbang kepada fokus kajian yang dijalankan.

2.1 Kajian Keberkesanan Penggunaan TMK Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran
Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud menggunakan TMK secara efisien, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Pada abad ke 21, kepentingan menguasai kemahiran TMK dilihat sebagai satu perkara yang amat penting kepada sesebuah institusi terutamanya institusi pendidikan. Keupayaan setiap individu dalam menguasai penggunaan TMK dapat membantu mengharungi dunia ledakan maklumat yang semakin pantas. Justeru, pendedahan kepada alam perkomputeran perlu dilakukan pada peringkat awal secara sistematik dan terancang agar budaya perkomputeran dapat dibina dalam suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih positif. Bagi menyahut cabaran ledakan TMK, semua pihak tidak terlepas untuk merealisasikan cabaran ini kerana penggunaan TMK yang efektif akan dapat menyumbang kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Oleh yang demikian, pengkaji berpendapat terdapat faktor-faktor utama yang dapat membantu meningkatkan keberkesanan penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini dibuktikan melalui pembacaan kajian-kajian penyelidik yang lepas yang mana faktor-faktor keberkesanan itu adalah terdiri daripada pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi.

2.1.1 Keberkesanan Dari Aspek Pengurusan
Merujuk kepada artikel ‘Applications Of Technology In Accounting Education And Analysis Of Its Use Among Faculty’ yang ditulis oleh Nas Ahadiat, terdapat sebilangan badan-badan professional yang telah meminta supaya pihak fakulti menggunakan teknologi dalam kursus yang disediakan. Berdasarkan The Association to Advance Collegiate Schools of Business (1993), di dalam artikel ini juga meminta pihak fakulti menyediakan serta menggunakan teknologi instruksional yang bersesuaian. Penggunaan TMK juga didapati boleh mengesan sebarang kesilapan ‘human errors’. Ini bukan sahaja membolehkan tugas–tugas perakaunan dilakukan dengan cekap, malah lebih tepat dan jitu.

Walau bagaimanapun, hasil kajian jurnal ‘Factors that May Influence or Hinder Use of Instructional Technology among Accounting Faculty’ oleh Nasrollah Ahadiat (2005) mendapati pihak fakulti kurang memberi penekanan berkaitan penggunaan teknologi. Ini adalah berpunca daripada kekurangan masa dan minat terhadap teknologi, bahan kursus yang tidak relevan, ketiadaan peralatan serta perisian teknologi yang terkini, kurangnya sokongan dari aspek pentadbiran dan aspek teknologi. Maka, pentadbiran universiti atau pengarah program harus berikhtiar mencari langkah-langkah yang terbaik untuk memberikan kemahiran komputer dan teknologi keseluruhannya kepada semua pihak seperti staf akademik dan pelajar. Di samping itu, sokongan dari pihak pentadbiran juga amatlah penting dalam menyalurkan tahap teknologi yang sebenarnya kepada pihak fakulti.

Manakala, kajian yang dijalankan oleh Rohaila, Faridah dan Norasmah (2007) dalam jurnal ’Kesan Strategi Pembelajaran Pengalaman Terhadap Pembangunan Kompetensi: Perspektif Pendidikan Perakaunan’, mendapati kelemahan graduan dalam mempamerkan kompetensi yang diharapkan terhadap diri mereka menyebabkan banyak pihak yang menuding jari kepada pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak fakulti supaya inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran diberikan perhatian sewajarnya agar pembangunan kompetensi pelajar dijadikan sebagai agenda utama. Bidang pendidikan yang dianggap tunjang dalam pembangunan modal insan perlu diberi perhatian. Induk kepada pendidikan iaitu amalan pengajaran dan pembelajaran haruslah menjurus ke arah menyediakan pelajar agar dapat menjadi tenaga kerja yang bertaraf antarabangsa dalam semua bidang kerjaya dan mampu bersaing dalam pasaran kerja tempatan dan global.

Di samping itu, Suryanti Awang (2008) dalam jurnal ‘ICT: Senario dan Cabaran Dalam Pendidikan’, menjelaskan bahawa terdapat juga universiti di Malaysia yang menyediakan nota atas talian (online notes) kepada pelajarnya. Para pelajar perlu ke laman yang disediakan dan memuat turunkan nota berkenaan. Sesetengah universiti membenarkan sesiapa sahaja yang melayari laman berkenaan untuk mencapai nota yang disediakan dan ada juga yang hanya boleh dicapai oleh para pelajar mereka sahaja dengan menyediakan kata laluan dan kata kunci. Terdapat laman web yang menyediakan perkhidmatan secara percuma untuk membaca buku elektronik atau nota atas talian. Laman tersebut juga menyediakan nota pensyarah secara percuma. Pengguna boleh memasuki laman tersebut untuk melihat kandungan buku elektronik berkenaan dan memuat turunnya dalam bentuk PDF.

Berdasarkan kajian-kajian lepas di atas, penggunaan TMK dapat membantu meningkatkan keberkesanan sesebuah pengurusan kerana TMK dikatakan sebagai alat pemudah komunikasi yang membolehkan pelajar dan pihak tertentu daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat yang pelbagai bentuk.

2.1.2 Keberkesanan Dari Aspek Pengetahuan Dan Kemahiran
Merujuk kepada artikel ‘Tahap Kompetensi Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran’ oleh Norazen, Hassan Ash’ dan Mohd Ruzman pula, pengetahuan dan kemahiran mengguna serta mengintegrasikan TMK dapat membantu meringankan beban tugasan di kolej. Kelebihan seseorang pensyarah dalam menyepadukan alat teknologi pendidikan seperti komputer di dalam pengajaran, bukan sahaja dapat menarik minat dan rangsangan pelajar untuk menguasai pelajarannya dengan lebih mudah, malah dapat memotivasikan pelajar berfikir secara kreatif di samping menambahkan keseronokan kepada pensyarah itu sendiri dalam proses pendidikan (Budin, Kendall & Lengel, 1986). Pengkaji berpendapat adaptasi TMK dalam proses pengajaran pensyarah dapat meringankan beban tugas pensyarah yang semakin mencabar dewasa ini. Justeru itu, inovasi dalam pendidikan adalah merupakan agenda penting yang perlu direalisasikan oleh para pensyarah selaras dengan apa yang terkandung di dalam misi reformasi pendidikan negara.

Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dari segi pengajaran memerlukan perancangan yang cekap dan efisien supaya ilmu pengetahuan dapat disampaikan kepada setiap pelajar mengikut gaya pembelajaran masing-masing. Teknologi maklumat dan komunikasi yang digunakan dalam pengajaran juga dapat memberi peluang pembelajaran yang lebih dinamis, menarik minat serta meningkatkan ilmu pengetahuan yang relevan dan berguna kepada pelajar. Oleh yang demikian, bagi melaksanakan tugas ini pensyarah seharusnya bijak dan kreatif mendidik serta merancang pelbagai strategi, kaedah dan pendekatan dengan jayanya melalui bantuan TMK ini.

Berdasarkan kajian ‘Tahap Kompetensi Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran’ oleh Norazen, Hassan Ash’ dan Mohd Ruzman, pensyarah atau tenaga pengajar perlu menguasai seberapa banyak pengetahuan dan kemahiran seiring dengan keperluan semasa mengikut kesesuaian pelajar dan persekitaran masa kini. Kajian ini menunjukkan kebanyakan pensyarah mempunyai sikap positif terhadap komputer dan ICT apabila hasil kajian yang diperolehi memberikan perbezaan min yang ketara iaitu 0.81 berbanding 0.00. Justeru itu, pengetahuan dan kemahiran pensyarah adalah kompeten terhadap penggunaan komputer. Menurut Gage dan Berliner (1984) dalam kajian ini juga sikap positif terhadap penggunaan komputer merupakan faktor penting dalam meningkatkan motivasi pengajaran dan pembelajaran.

Di samping itu, menurut Hawa binti Rahmat, Rohaidah Mashudi dan Noor Watee Rahman (2008) dalam artikel ‘Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Melalui IT Di Peringkat Universiti’, mendapati hasil kajian yang dijalankan melalui temu bual dengan responden (di kalangan pensyarah) dalam keberkesanan penggunaan IT dapat dilihat berdasarkan kepada Academic Evaluation System (AES). Melalui AES pensyarah akan dinilai oleh pelajar mereka pada setiap semester dan penilaian tersebut akan diakui sah sekiranya jumlah pelajar melebihi daripada 100 orang maka peratus penilai haruslah lebih 50 peratus. Seramai 70 peratus daripada 30 responden menyatakan bahawa AES mereka semakin menunjukkan kemajuan hasil penggunaan IT di dalam kelas.

Menurut Campeau dan Higgins (1995), dalam kajian ‘Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor’ yang ditulis oleh Ting Kung Shiung (2007), pengguna yang mempunyai tahap kecekapan diri yang tinggi akan kurang mengalami halangan ketika menggunakan e-pembelajaran. Menurut Eastin & LaRose (2000) dalam kajian tersebut juga seseorang yang memiliki tahap kecekapan diri terhadap Internet yang kurang akan merasa tidak yakin terhadap kebolehan beliau mengakses Internet dan tidak cekap dalam menggunakan kemahiran tersebut dalam kehidupan.

Pengetahuan juga memainkan peranan yang penting untuk meramalkan kecekapan diri seseorang menggunakan komputer. Tsai et al. (2001) dalam kajian ‘Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor’ oleh Ting Kung Shiung (2007), mendapati pengetahuan sedia ada seseorang menggunakan Internet akan mempengaruhi sikap seseorang pelajar terhadap internet. Pelajar yang berpengetahuan menggunakan internet mempunyai sikap yang positif terhadap Internet begitu juga dengan penggunaan komputer. Menurut Tsai et al. (2001) dalam kajian tersebut, pengetahuan membantu pengguna mempunyai sikap yang lebih positif terhadap Internet terutama kepada seseorang yang mempunyai sikap bimbang dan kurang berkeyakinan terhadap Internet.

Menurut Tina dan Lim Swee Kim (2004) dalam kajian bertajuk ’Kesan Efikasi Kendiri Guru Sejarah Terhadap Amalan Pengajaran Berbantukan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)’ yang ditulis oleh Azwan Ahmad, Abdul Ghani, Mohamad Zohir et al (2005), pula mendapati penggunaan ICT dalam P&P membolehkan pelajar bersikap aktif dalam pencarian maklumat dan membina pengetahuan daripada maklumat yang diperolehnya serta berpeluang menghubungkait pengetahuan merentas mata pelajaran tanpa disekat oleh masa dan jarak.

2.1.3 Keberkesanan Dari Aspek Teknologi
Menerusi kajian ’Aplikasi Tm Dalam Pembelajaran Penulisan Ilmiah: Tinjauan Dari Aspek Kemahiran dan Persepsi Pelajar’ oleh Nasariah Mansor, Nafisah Mahmud dan Faizah Ahmad, Hansman dan Wilson (1998) mengatakan bahawa komputer merupakan alat yang membolehkan para pelajar menguasai proses penulisan dengan lebih mudah berbanding kertas dan pen. Walaupun pada peringkat permulaan, komputer berfungsi sebagai mesin taip untuk menaip draf akhir sahaja, lama-kelamaan komputer menggantikan pen dan kertas sebagai alat menulis. Komputer dikatakan sebagai alat menulis dan dapat membantu mewujudkan suasana kerjasama sama ada dalam menulis atau belajar menggunakan teknologi.

Menurut Nasariah Mansor, Nafisah Mahmud dan Faizah Ahmad dalam kajian ’Aplikasi Tm Dalam Pembelajaran Penulisan Ilmiah: Tinjauan dari Aspek Kemahiran dan Persepsi Pelajar’, Hansman dan Wilson (1998) berpendapat komputer juga amat berguna dalam pencarian maklumat atau bahan. Para pelajar dapat menggunakan komputer untuk mencari artikel dan jurnal-jurnal tertentu melalui pangkalan data perpustakaan online. Merujuk kajian ini juga Caverly (2000) menyatakan keadaan ini akan dapat menjimatkan masa kerana mereka tidak perlu lagi ke perpustakaan untuk mendapatkan maklumat. Nor Hafidah (2002) dalam kajian yang sama turut menjelaskan bahawa selain pelajar, guru-guru juga menggunakan komputer, khususnya Internet bagi tujuan mencari bahan untuk pengajaran dan pembelajaran seperti mencari bahan-bahan rujukan.

Selain itu, kajian ‘Tahap Kompetensi Pensyarah Menggunakan ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran’ oleh Norazen, Hassan Ash’ dan Mohd Ruzman, mendapati bahawa penggunaan alat bantu mengajar dapat meningkatkan minat serta merangsang minda para pelajar dan diakui sebagai pemangkin kepada proses pengajaran dan pembelajaran (Kamps,1994; Slavin,1995; Jonassen,1996; Mackenzie & Jansen,1998; Heinich et al,1999). Antara teknik yang boleh digunakan bagi mempelbagaikan penyampaian ialah penggunaan perisian Ms PowerPoint Presentation yang dapat dipersembahkan dalam pelbagai bentuk grafik, animasi, warna, suara dan video. Alat-alat teknologi yang digunakan secara efisien dan efektif bukan sahaja dapat menarik minat dan rangsangan pelajar untuk menguasai pelajaran dengan mudah malah dapat memotivasikan mereka untuk berfikir secara kreatif (Budin, Kendall & Lengel, 1986).

Pada masa yang sama juga, kajian oleh Abdul Razak (2005) yang bertajuk ‘Penggunaan Perisian Komputer dan LCD Sebagai Bahan Bantu Mengajar dan Pemudahcara’, turut menyatakan bahawa penggunaan teknologi seperti perisian komputer iaitu PowerPoint dan Excel serta penggunaan LCD sebagai bahan bantu mengajar perlu diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat pelajar untuk menguasai kemahiran IT. Melalui hasil kajian itu, beliau telah dapat mengenalpasti keberkesanan penggunaan perisian komputer dan LCD dalam subjek tersebut. Ini dibuktikan dengan berlakunya peningkatan kemahiran pelajar setelah mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan perisian serta LCD dalam merekod dokumen perniagaan.

Kajian ‘Computer Based Accounting Education Techniques: A Response to A Dynamic Information Technology Environment’ yang ditulis oleh Kathie Cooper dan Vivienne Coomb (2004) pula melihat kepada beberapa teknik dalam penggunaan teknologi kepada para pelajar. Sebagai contoh, salah satu teknik dalam Computer Managed Learning (CML) iaitu computer based assignment membolehkan pelajar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan menyiapkan tugasan seperti penyediaan jurnal, pengeposan ke lejar, imbangan duga, kunci kira-kira dan penyata kewangan.

Irfan Naufal Umar (2004) menerusi kajian ‘Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor’ oleh Ting Kung Shiung (2007) pula mendapati penggunaan TMK dalam proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan bilik darjah bertemu dengan dunia nyata serta membolehkan pelajar-pelajar sendiri mencari maklumat dan bahan asal; memudahkan kolaboratif dan perbandingan global; serta membolehkan bahan-bahan multimedia dicipta dan disebarkan dengan mudah.

Hasil kajian ‘Penggunaan E-Pembelajaran (E-Learning) di Kalangan Pelajar Jurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) Negeri Johor’ oleh Ting Kung Shiung (2007) terhadap 306 orang responden menunjukkan bahawa terdapat sebanyak 81.4% responden menyatakan bahawa e-pembelajaran adalah berguna untuk pengajian mereka. Sebanyak 15.4% orang responden tidak pasti sama ada e-pembelajaran berguna atau sebaliknya terhadap pengajian mereka. Manakala, hanya 3.3% responden yang mengatakan e-pembelajaran tidak berguna untuk mereka. Ini bermakna e-pembelajaran telah diperkenalkan sebagai satu strategi baru untuk menyokong kelemahan yang terdapat dalam sistem pendidikan yang lama.

Menurut Wallace (1999) dalam jurnal ‘Technology Readiness, Internet Self-Efficacy and Computing Experience of Professional Accounting Students’ yang ditulis oleh Ming-Ling Lai (2008), menjelaskan bahawa mata pelajaran yang lebih menekankan kepada pembacaan dan pemahaman seperti dari jabatan social and Human Science (SAHS) yang merangkumi, Psikologi, Moral dan Etika, Pengajian Islam, Malaysia Studies, dan pembangunan Manusia, 75 peratus memberikan reaksi positif terhadap keputusan AES mereka apabila mereka menggunakan banyak gambar dan animasi di dalam kelas berbanding hanya menggunakan white board dan juga transparensi sahaja. Di samping itu juga, komen daripada pelajar melalui AES menyatakan mereka sangat berpuas hati sekiranya pensyarah atau pengajar dapat menggunakan pendekatan IT di dalam kelas. Ini disebabkan oleh persembahan yang berwarna warni dan penuh emosi bukan sahaja dapat membantu penghayatan pelajar, bahkan juga cara penyampaian pensyarah menjadi lebih yakin dan bersemangat.

Menurut Hawa binti Rahmat, Rohaidah Mashudi dan Noor Watee Rahman (2008), dalam artikel yang bertajuk ‘Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Melalui IT di Peringkat Universiti’, hasil daripada pemerhatian dan temu bual ke atas pensyarah yang tidak mengkhusus di dalam bidang IT juga turut memberikan reaksi yang positif (70 peratus) terhadap kemahiran mereka mengendalikan komputer, aplikasi komputer dan internet. Para pensyarah boleh memuat naik nota mereka ke dalam MMLS sendiri. Mereka tidak perlu menggunakan khidmat juruteknik atau pensyarah komputer untuk memuat naik nota-nota mereka. Nota-nota tersebut bukan hanya dalam bentuk Ms words bahkan juga menggunakan perisian terkini seperti flash. Dengan kemudahan MMLS juga mereka boleh berbual melalui chat room dengan pelajar dan memuat naik markah.

Dalam jurnal ‘Technology Readiness, Internet Self-Efficacy and Computing Experience of Professional Accounting Students’ oleh Ming Ling Lai (2008), Wallace (1999) melihat kesan teknologi kepada para pelajar iaitu mereka tidak perlu beratur di bilik pensyarah atau merasa kecewa pensyarah yang ditunggu tiada di bilik. Ini berikutan 80 peratus memberikan respon positif ke atas kecanggihan IT pada masa sekarang yang membantu para pelajar menggunakan talian komunikasi sebagai alat hubungan untuk mendapatkan informasi mengenai pembelajaran mereka. Sebagai contoh khidmat General Packet Radio Service (GPRS) membolehkan pelajar menerima data seperti gambar, email, penggunaan Internet dan Intranet.

Menurut Suryanti Awang (2008), dalam jurnal yang bertajuk ‘ICT: Senario dan Cabaran Dalam Pendidikan’, kaedah pembelajaran e-Pembelajaran memberikan beberapa impak kepada keberkesanan dalam penyampaian ilmu dan maklumat kepada pengguna. Antara kesan yang positif dari kaedah pembelajaran ini ialah penjimatan masa, lokasi dan kos, capaian maklumat yang tidak terhad disebabkan maklumat yang di arkibkan serta mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan bilangan pelajar apabila ia di sebarkan melalui Internet. Pendidikan di Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan e-Pembelajaran selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat yang celik IT. Kebanyakan universiti terutamanya Universiti Multimedia menggunakan e-Pembelajaran sebagai satu kaedah pembelajaran di mana semua maklumat berkaitan pembelajaran dimasukkan ke dalam e-Pembelajaran bagi memudahkan pelajar mencapai maklumat yang diperlukan sama ada nota, tutorial ataupun mendapatkan markah.

Bates (1997) dalam jurnal ‘ICT: Senario dan Cabaran Dalam Pendidikan’ oleh Suryanti Awang (2008) pula percaya terdapat empat tujuan utama yang menyebabkan penggunaan teknologi di Institusi Pendidikan Tinggi, antaranya termasuk membaiki kualiti pembelajaran, membaiki pengaksesan kepada pendidikan dan latihan, mengurangkan kos pendidikan serta membaiki kos efektif bagi pendidikan. Walaupun begitu, penggunaannya yang meluas dalam bidang pendidikan adalah dipengaruhi oleh iklim atau persekitaran tempat seseorang itu belajar, institut atau kampusnya, kelompok dan juga masyarakatnya.

2.2 Kesimpulan
Berdasarkan kajian-kajian lepas yang telah dibincangkan, dapatlah disimpulkan bahawa aspek pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi adalah faktor-faktor yang dapat meningkatkan keberkesanan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup. Maka, pengkaji terdorong untuk mengadakan kajian terhadap empat faktor tersebut ke atas pelajar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi memastikan faktor-faktor tersebut mempunyai hubungan signifikan yang amat positif dengan keberkesanan penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran.

BAB 3

METODOLOGI KAJIAN

Pengenalan
Metodologi penyelidikan merujuk Nasariah Mansor, Nafisah Mahmud & Faizah Ahmad (2002), merupakan suatu kajian yang berbentuk deskriptif dengan menggunakan kaedah tinjauan untuk mendapatkan maklumat. Pengumpulan maklumat melibatkan proses yang memerlukan tempoh masa yang agak panjang, rumit serta mahal. Oleh itu, kegagalan menggunakan kaedah pengumpulan data secara efisien akan menghasilkan maklumat yang kurang relevan serta akan meningkatkan perbelanjaan sesuatu penyelidikan. Sehubungan itu, bab ini akan membincangkan reka bentuk untuk kajian yang telah dijalankan, populasi dan sampel yang terlibat dalam kajian yang telah dijalankan, instrumen kajian yang telah digunakan dalam kajian, prosedur-prosedur dalam menjalankan kajian ini serta penganalisisan data iaitu bagaimana data dianalisis selepas kerja lapangan dijalankan.

3.1 Reka Bentuk Kajian
Reka bentuk sesuatu penyelidikan adalah teknik dan kaedah tertentu untuk memperoleh maklumat yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah. Khususnya, rekabentuk sesuatu penyelidikan membincangkan bagaimana untuk mencapai sesuatu objektif penyelidikan. Rekabentuk merupakan keseluruhan rangka projek penyelidikan yang menyatakan apakah corak jenis kajian yang hendak dilaksanakan, jenis maklumat yang perlu dikumpul, daripada mana sumber maklumat boleh didapati dan dengan kaedah apa maklumat boleh diperolehi. Sekiranya penyelidikan direkabentuk dengan berhati-hati, reka bentuk akan memastikan bahawa maklumat yang diperolehi adalah sesuai dengan persoalan masalah yang ingin diselesaikan. Di samping itu, maklumat yang dikumpul akan diperolehi dengan kaedah yang paling berkesan (Mohd. Majid Konting, 2005). Reka bentuk kajian ini dibuat dengan cara mengumpulkan maklumat atau data-data tentang penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup.

Menurut Mohd. Majid Konting (2005), reka bentuk kajian ini adalah bersifat kuantitatif dan mempunyai kebolehpercayaan dan kesahan yang merujuk kepada ketekalan maklumat yang diperolehi daripada responden. Selain itu, kaedah ini juga lebih cepat dari segi masa pengutipan data serta penyiapan tinjauan. Dalam menjalankan kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah tinjauan dan deskriptif. Kaedah tinjauan adalah satu cara yang spesifik untuk mengumpulkan maklumat mengenai populasi. Kaedah tinjauan sering dijalankan dalam penyelidikan pendidikan. Dua jenis tinjauan yang penting dan sering dilakukan dalam bidang pendidikan ialah tinjauan sekolah dan tinjauan komuniti (Mohd. Majid Konting, 2000). Kaedah tinjauan digunakan kerana kajian ini memfokus kepada pemboleh ubah yang dianggap boleh diukur. Selain itu, data yang akan perolehi adalah bersifat empirikal. Melalui kaedah tinjauan, dengan melibatkan sekumpulan elemen yang kecil dan terperinci, maka maklumat yang banyak boleh dikumpul dan direkodkan.

Walau bagaimanapun data yang lengkap atau mendalam jarang sekali dapat dihasilkan namun data yang dikumpulkan adalah tepat. Strategi tinjauan ini juga sesuai digunakan kerana penyelidikan yang dijalankan ini hanyalah untuk membuat kenyataan umum tentang sesuatu populasi (Mohamad Najib Ghaffar, 1999). Justeru, pengkaji menyelaraskan teknik tinjauan terlebih dahulu untuk menentukan cara dan alat penyelidikan yang sesuai dengan praktikal dengan mengambil kira beberapa kriteria seperti faktor masa, kos dan peraturan-peraturan organisasi tempat kajian dijalankan.

Penyelidikan deskriptif pula merupakan penyelidikan yang bermatlamat untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku. Bagi mendapatkan maklumat mengenai sesuatu peristiwa yang sedang berlaku, kaedah deskriptif digunakan. Seringkali juga penyelidikan deskriptif bermatlamat untuk menerokai sesuatu bidang yang belum atau kurang dikaji. Sekiranya penyelidikan bermatlamat untuk menerokai sesuatu bidang, penyelidikan yang dijalankan adalah berbentuk penerokaan. Kaedah penyelidikan deskriptif tidak memerlukan usaha mengawal sesuatu olahan. Ini adalah kerana penyelidikan tidak menentukan terlebih dahulu faktor-faktor yang mendatangkan kesan ke atas sesuatu peristiwa (Mohd Majid Konting, 1993:96).

Sungguhpun setiap penyelidikan akan menentukan teknik masing-masing, secara umumnya boleh dibezakan antara teknik yang dipilih oleh penyelidikan kualitatif dan penyelidikan kuantitatif. Dalam penyelidikan ini borang soal selidik digunakan telah digunakan untuk mengambilkira keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup yang mana ia menjurus kepada objektif kajian ini. Amir Hasan Dawi (2006), berpendapat teknik menggunakan borang soal selidik mempunyai kelebihan dan kekurangan. Teknik soal selidik dapat merangkumi jumlah sampel yang ramai, lebih cepat dan sesuai untuk soalan-soalan yang sensitif. Namun penyediaan soalan-soalan mungkin memakan masa, tidak dapat mencungkil data secara mendalam dan kemungkinan sampel tidak mengisi borang soal selidik berkenaan.

3.2 Populasi Dan Persampelan
Sebelum memilih sampel, populasi kajian ditentukan terlebih dahulu. Populasi ialah satu kumpulan perkara yang mengandungi unsur, objek, individu atau ciri-ciri yang dipertimbangkan dalam suatu kajian yang ingin di ambil oleh penyelidik (Azhar Harun dan Nawi Abdullah, 2004:52). Dalam kajian ini pengkaji telah memilih kaedah persampelan rawak mudah (Simple Random Sampling). Dalam kaedah ini kebiasaannya dengan menggunakan nombor rawak atau angka rawak sama ada bercetak atau digunakan secara elektronik. Teknik ini dipilih kerana jumlah populasi yang sedikit dan mempunyai variasi yang kecil di antara unit-unit dalam populasi. Ini bermakna perbezaan yang terdapat antara ahli dengan ahli yang lain adalah tidak ketara. Oleh itu, mana-mana ahli yang dipilih sebagai sampel mampu mewakili ciri-ciri populasinya. Tiap-tiap ahli dalam populasi berkenaan mempunyai kebarangkalian yang sama untuk dipilih sebagai sampel.

Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih untuk menjalankan kajian ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Populasi kajian adalah pelajar yang mengambil kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup di universiti tersebut dan sampel kajian terdiri daripada pelajar Program Kemahiran Hidup yang berada dalam semester empat yang pernah mengambil kursus Simpankira / Pendidikan Perakauan. Saiz sampel bagi kajian ini adalah 60 orang pelajar yang dipilih secara rawak dalam semester yang dinyatakan. Maka, jumlah keseluruhan responden dalam kajian ini ialah 60 orang pelajar dari Program Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan.

3.3 Instrumen Penyelidikan
Instrumen penyelidikan yang digunakan dalam penyelidikan ini ialah soalan soal selidik yang ditadbirkan kepada 60 orang pelajar Program Kemahiran Hidup yang mendaftar kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Sebanyak 60 set soal selidik diedarkan kepada responden. Soal selidik merupakan alat untuk mengumpul data bagi penyelidik sains sosial. Soal selidik sebenarnya tidak lebih daripada satu borang yang dibentuk khusus untuk mengisi maklumat yang diberikan oleh setiap responden dalam temu bual (Ahmad Mahdzan Ayob, 2005). Bagi satu-satu kajian, satu soal selidik yang sama hendaklah digunakan untuk semua responden. Ini bagi memastikan keseragaman dalam jawapan yang diberikan. Keseragaman bermaksud semua mereka memberi jawapan yang sama, tetapi jawapan itu diletakkan di ruang yang sama bagi membolehkan pemprosesan data melalui komputer. Soalan itu juga dikemukakan mengikut urutan yang sama (Ahmad Mahdzan Ayob, 2005).

Dalam kajian ini, soal selidik yang dibuat adalah diambil daripada soalan-soalan yang terdapat di dalam jurnal dan kajian yang dikaji oleh pengkaji. Soal selidik tersebut terdiri daripada empat bahagian. Bahagian A mengandungi maklumat responden yang terdiri daripada 4 soalan yang berbentuk nominal iaitu yang berkaitan diri responden mengikut jantina dan opsyen. Bahagian B, C dan D ialah soal selidik berkenaan empat faktor yang diandaikan oleh pengkaji yang dapat mempengaruhi keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup seperti pengurusan, pengetahuan, kemahiran dan teknologi.

Bahagian B soal selidik ialah bagi faktor yang pertama iaitu pengurusan oleh fakulti dalam meningkatkan keberkesanan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi di kalangan pelajar Progaram Kemahiran Hidup. Bahagian ini adalah soalan berbentuk ‘checklist’ di mana pelajar dikehendaki memberikan jawapan sama ada ‘Ya’ atau ‘Tidak’ bagi setiap pernyataan yang telah diberikan. Bahagian C pula adalah soalan-soalan berkaitan faktor kemahiran dan pengetahuan. Di bahagian ini pengkaji ingin melihat tahap pengetahuan kemahiran dan pengetahuan para pensyarah serta pelajar terhadap penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran kursus ini. Dalam kajian soal selidik bahagian C ini pengkaji menggunakan kod skala Likert, dan sebagai contoh respon yang disediakan ialah :

Sila bulatkan nombor jawapan. Pilihan anda mengikut skala berikut sekiranya anda:

Sangat
tidak setuju Tidak setuju Tidak pasti Setuju Sangat setuju
1 2 3 4 5

Jadual 1 : Kod skala likert

Akhir sekali, dalam bahagian D terdapat 14 soalan yang berkisarkan faktor teknologi. Di bahagian ini responden perlu membuat pilihan berdasarkan penyataan yang diberikan sama ada teknologi menjadi penghalang atau tidak kepada mereka untuk menggunakan TMK.

3.4 Kaedah Analisis Data
Bagi kaedah analisis data ia bermula di mana borang soal selidik akan diedarkan untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan. Sebelum memulakan analisis, borang-borang soal selidik akan ditapis dahulu bagi memastikan hasil yang diperolehi adalah tepat dan menjawab persoalan kajian.
Untuk soal selidik, data-data yang diperolehi akan dikumpul dan dianalisis secara prosedur statistik deskriptif. Skor-skor mentah akan dianalisis menggunakan kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai untuk menentukan keberkesanan penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Simpankira / Pendidikan Perakaunan di kalangan pelajar Program Kemahiran Hidup.

3.5 Prosedur Kajian
Prosedur kajian ialah langkah-langkah kajian yang perlu diambil oleh pengkaji untuk melaksanakan kajian dari awal hingga kajian berakhir. Ini termasuklah menyediakan cadangan penyelidikan, melaksanakan modul dan menganalisis data serta menyediakan laporan akhir penyelidikan. Segala prosedurnya perlu diperjelaskan secara terperinci dan satu persatu. Untuk menjalankan kajian ini, prosedur-prosedur kajian adalah seperti berikut:
i. Menyediakan kertas cadangan penyelidikan iaitu proposal.
ii. Mengenal pasti masalah dan menyatakan objektif
iii. Mencadangkan hipotesis
iv. Menyediakan instrumen kajian
v. Memproses dan menganalisis data yang melibatkan pemprosesan maklumat daripada soal selidik yang diedarkan.
vi. Menulis laporan akhir kajian.

3.6 Kesimpulan
Secara keseluruhannya pengkaji menjelaskan tentang kaedah penyelidikan yang digunakan dari segi reka bentuk kajian, pemilihan populasi dan sampel, instrumen penyelidikan, kaedah menganalisis data dan prosedur kajian. Semua kaedah ini dilakukan secara berturutan bagi memudahkan pengkaji mencapai objektif kajian ini.

CONTOH PROPOSAL ; SUMBER -ipbl/BM/penyelidikan/seminarpapers/2003

Standard

Pemikiran Cinta Bermukun Dalam Gendang Melayu Sarawak
oleh
Mohd. Fauzi Abdullah, Abd. Hamid Mukri, Roselan Baki
Omar Mamat, Raja Ahmad Raja Musa, Ahmad Shahril Rajain
Institut Bahasa Melayu Malaysia, Kuala Lumpur

ABSTRAK
Kajian ini membincangkan salah satu bentuk kesenian masyarakat Melayu Sarawak iaitu Gendang Melayu Sarawak. Aspek yang diteliti adalah gambaran isi dan falsafah pemikiran yang terkandung dalam mukun atau pantun berkenaan. Hasil penelitian terhadap bahan mendapati bahawa mukun atau pantun yand dicipta atau dilafazkan secara spontan dan bersahaja itu berguna sebagai sarana untuk menghibut, mendidik dan mengkritik peri laku ahli masyarakat. Sesuai dengan sifatnya sebagai hibutan santai, isi pemikiran pantun dalam gendang Sarawak didominasi oleh pantun-pantun cinta. Berdasarkan analisis terhadap bahan, hujahan dibuat untuk menggambarkan kepelbagaian isi pemikiran bermula dengan konsep cinta, kegigihan, rebutan, penghargaan kesetiaan, cumbuan, penduaan, pinggiran, perpisahan dan dendaman cinta. Hal ini memperjelas bahawa cinta insani ialah suatu bentuk perasaan yang kompleks serta mempunyai nilai dan tafsiran yang relatif-subjektif bergantung kepada persepsi terlibat. Selain itu, kupasa juga dilakukan terhadap pemikiran dan tanggapan cinta masyarakat melalui pantun mukum yang bertemakan seni, pertiwi dan Ilahi.
I.0 Pengenalan
Bidang kebudayaan dan kesenian khususnya yang membabitkan bahasa, sastera dan budaya mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Dengan rempuhan teknologi siber dalam abad ke 21 bahan berkenaan mengalami perubahan bentuk yang ketara. Paling membimbangkan bahan-bahan berkenaan semakin sukar malah ada yang telah pupus ditelan zaman. Tokoh aktivis budaya semakin hari semakin berkurangan dan kegiatan yang berunsur hiburan tradisi lisan semakin terhakis di kalangan generasi muda. Puisi-puisi tradisional yang mengiringi kebanyakan persembahan kesenian tradisional seperti gendang Sarawak, lagu-lagu rakyat, permainan, tarian, upacara keagamaan dan ritual adat istiadat semakin terpinggir daripada pengucapan masyarakat. Hal ini amat merugikan kerana melalui puisi tradisional kita dihadapkan dengan pelbagai gambaran pemikiran dan falsafah hidup yang menjadi sumber dokumen budaya masyarakat setempat. Usaha mendokumentasi, menganalisis dan menafsir puisi berkenaan wajar dilakukan bermula dari sekarang, agar pemikiran masyarakat Melayu setempat dapat dibongkar dengan bijaksana dan saksama. Sehubungan itu, pantun atau mukun yang mengiringi persembahan Gendang Melayu Sarawak dipilih untuk menjadi bahan kajian.

I.2 Pernyataan Masalah
Kebanyakan khalayak berpendapat bahawa puisi, sementelahan lagi puisi tradisional termasuk pantun/ mukun sukar difahami atas sebab-sebab tertentu. Apakah sebab itu? Sejauh manakah kebenaran kenyataan ini ? Pembaca juga beranggapan bahawa diksi dan siratan makna katanya amat menyulitkan. Sejauh manakah tahap kesukaran bahasa pantun/ mukun tersebut?.
Genre puisi secara umum dikonsepsikan sebagai ‘the best word in their best order’. Sejauh manakah pantun/ mukun menepati konsep ini ?
Hasil kesusasteraan seperti pantun/ mukun adalah cerminan budaya masyarakat yang melahirkannya. Kebudayaan merujuk langsung kepada the way of life atau cara hidup dan pemikiran masyarakat. Penelitian terhadap pantun/ mukun membolehkan kita menyelami pemikiran dan falsafah hidup masyarakat. Apakah hal yang sering masyarakat fikirkan? Bagaimana persepsi masyarakat terhadap sesuatu hal yang berkaitan dengan kehidupan mereka? Bagaimana masyarakat menyelesaikan masalah yang mengganggu hidup mereka ?
Sesungguhnya puisi tradisional termasuk pantun/ mukun agak asing dan misteri bagi kehidupan masyarakat hari ini. Oleh itu satu kajian lapangan untuk menyelami kata dan makna puisi berkenaan wajar dilaksanakan demi membongkar falsafah pemikiran masyarakat di dalamnya.
1.3 Tujuan Kajian
1. Memahami seni persembahan Gendang Melayu Sarawak serta mukun / pantun;
2. Mendokumentasikan seni persembahan Gendang Melayu Sarawak serta mukun/ pantunnya sebagai bahan yang berkaitan dengan bahasa, sastera dan budaya Melayu tradisional di negeri Sarawak;
3. Meneliti keindahan bentuk, struktur dan bahasa puisi mukun/ pantun yang terkandung dalam persembahan Gendang Melayu Sarawak;
4. Menjelaskan isi, jalur, sikap, sifat dan falsafah pemikiran masyarakat setempat melalui mukun/ pantun yang mengiringi persembahan Gendang Melayu Sarawak, dan;
5. Membolehkan hasil penyelidikan digunakan untuk rujukan ilmu bagi pelajar, pensyarah dan masyarakat umum.
1.4 Soalan-soalan Kajian
1.4.1 Sejauh manakah benarnya keadaan ini jika dirujuk kepada pantun/ mukun yang mengiringi persembahan Gendang Melayu Sarawak?
1.4.2 Apakah aspek yang menimbulkan kesukarannya? Sejauh manakah tahap kesukaran bahasa puisi berkenaan?
1.4.3 Sejauh manakah keupayaan kreatif dan sentuhan imaginasi jiwa masyarakat pra-tulisan menzahirkan kata-kata yang dianggap puitis serta penuh falsafah pemikiran jika merujuk kepada mukun/ pantun yang mengiringi persembahan Gendang Melayu Sarawak?
1.4.4 Bagaimanakah bentuk jalur pemikiran cinta mengikut persepsi masyarakat setempat? Apakah warna dan rasa cinta mereka? Bagaimana pula kod etika dan taboo cinta mereka? Juga bagaimana kaedah menyelesaikan kemelut cinta mereka ?

1.5 Batasan Kajian
Bahan dibataskan kepada 110 rangkap mukun atau pantun lisan hasil rakaman audio-visual di lapangan terus dari mulut informan terlibat sewaktu acara bergendang sedang berlangsung. Juga mukun yang diucapkan semula secara bebas oleh Seh Gendang, orang dara dan penopeng; yakni mukun-mukun yang biasa dilagukan atau didengar mereka sewaktu persembahan bergendang.
Bahan yang dikaji juga hanya dibataskan kepada mukun atau pantun yang berhubungan dengan pemikiran cinta.
Bentuk mukun yang dikaji terhad kepada mukun 4 kerat atau 4 baris serangkap.
Bahan juga dibataskan kepada mukun yang didapati daripada 5 kumpulan gendang Sarawak yakni Kumpulan Gendang Melayu Sarawak Kg. Sija’e Sadong Jaya, Kumpulan Gendang Melayu Sarawak Kg. Lamanat Sri Aman, Kumpulan Gendang Melayu Asli Sarawak (GEMAS) Kuching, Kumpulan Gendang Melayu Sarawak Rumah Melayu Kampung Budaya dan kumpulan persembahan kesenian gendang Sarawak sempena Sambutan Ulangtahun Yang Dipertua Sarawak di Sri Aman.
Aspek pemikiran juga dibataskan hanya kepada penelitian terhadap gambaran pemikiran yang merangkumi tema, persoalan serta perasaan dalam mukun atau pantun.
2.0 Metodologi Kajian
Prosedur pelaksanaan kajian meliputi reka bentuk dan kaedah kajian; rasional pemilihan pendekatan kajian kualitatif; penentuan dan pemilihan bahan serta informan; tempat dan tempoh kajian, dan prosedur pengumpulan dan penganalisisan data bagi menjawab soalan-soalan kajian. Pelaksanaan pendekatan kualitatif tidak menetapkan suatu prosedur standard yang dapat memenuhi jangkaan dan keperluan semua pihak kerana prosedurnya banyak bergantung kepada tujuan dan konteks kajian (Merriam : 1994). Untuk itu kajian ini meneliti interaksi bahan (puisi mukun/ pantun) melalui gabungan perspektif penyelidikan ethnometodologi dan etnografi. Perspektif ini meneliti struktur dan bentuk yang mendasari proses pelaksanaan interaksi bahan (mukun/ pantun) untuk “memahami budaya bahan dan persekitaran – dengan makna dan nilai masyarakat yang terlibat dan penelitian khusus yang teliti terhadap apa yang dikatakan oleh bahan dan bagaimana masyarakat menafsir makna” (MacLure 1994: 145).
2.1 Tempat Kajian
Kajian ini melibatkan tiga daerah utama di Sarawak iaitu Kuching (sekitar Kuching), Sadong Jaya (Kg. Sija’e) dan Sri Aman (Kg. Lamanat); RTM Sarawak, Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak, Kampung Budaya Sarawak, Pejabat Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak, dan; di rumah informan di Jalan Kulas Utara, Kuching.
2.2 Bahan dan Informan Kajian
2.2.1 Bahan Kajian
Bahan yang dipilih adalah puisi tradisional, iaitu pantun atau mukun yang dipersembahkan oleh informan dan kumpulan-kumpulan yang terlibat. Sejumlah 110 rangkap mukun/pantun telah dirakamkan untuk dianalisis.
2.2.2. Informan Kajian
Seramai 11 orang informan khusus dipilih meliputi penggiat kesenian, mereka yang bergiat secara langsung dalam seni bergendang dan bermukun (seperti Seh Gendang dan penandak) serta pihak yang bertanggungjawab memulihara seni Gendang Melayu Sarawak. Mereka adalah En. Deo, Tn. Hj. Latif, En. Ahmad, Pn. Rainah, En. Dae, Pn. Domin, Pn. Oyah, En. Abdillah, Tn. Hj. Kamil, Cik Norlia dan Tn. Hj. Bujang.
2.3 Tempoh Kajian
Kajian terbahagi kepada tiga fasa. Fasa 1 adalah tinjauan awal tentang lokasi, informan dan penyebaran bahan kajian pada bulan November 2000. Fasa II adalah sesi mereka bentuk, memantap dan memurnikan kertas cadangan berlangsung selama setahun, iaitu sepanjang tahun 2001. Fasa III adalah fasa pelaksanaan kajian yang dijalankan sepanjang tahun 2002.
2.4 Kaedah Pengumpulan Data

2.4.1 Pemerhatian
Pemerhatian awal dilakukan untuk tujuan tinjauan tentang konteks kajian seperti keadaan persekitaran masyarakat, lokasi, keadaan alatan bahan, peraturan atau ritual yang mungkin mengiringi pengucapan puisi berkenaan. Pemerhatian seterusnya adalah pemerhatian sebenar, berfokus kepada usaha untuk memperoleh data bagi menghuraikan persoalan kajian.
2.4.2 Temu bual Mendalam
Temu bual dilakukan dalam dua peringkat iaitu temu bual awal, untuk meredakan keadaan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran/ informan. Pada keadaan perlu, penyelidik menemu bual secara retrospektif bertujuan untuk melengkapi dan mengesahkan data pemerhatian melalui perspektif informan atau masyarakat sekitar tentang pelakuan dan pemikiran mereka terhadap bahan kajian.
2.4.3 Rakaman Audio-Visual
Tradisi penggunaan rakaman audio visual sebagai alat kajian untuk mengumpulkan data tradisi lisan bagi kajian lapangan sudah lama menjadi amalan penyelidik kesusasteraan Melayu terutama sastera Melayu tradisional.
2.5 Transkripsi teks
Semua teks tulisan tangan dan teks lisan audio-visual yang dipungut akan disimpan dan direkodkan mengikut garis panduan prosedur kajian tradisi lisan lapangan (Taib Osman,1976; Fennigen,1977; Zumthor, 1990). Untuk kerja menterjemah dan mentranskripsi teks dari bahasa natif ke bahasa Melayu penyelidik akan menggunakan khidmat beberapa orang pembantu penyelidik dan penterjemah yang pakar serta berpengetahuan dalam bahasa serta budaya masyarakat Melayu Sarawak.

3.0 Kaedah Penganalisisan Data
Penganalisisan data melalui dua peringkat proses iaitu semasa dan selepas pengumpulan data. Kekerapan kemunculan kategori tertentu menjadi asas untuk membina rumusan kajian.
4.0 Kesimpulan

Kesimpulan kajian ini menghujah dan membuktikan beberapa hal yang menarik mengenai pemikiran cinta bermukun dalam Gendang Melayu Sarawak.
1. Pantun atau mukun yang digubah menjadi beberapa irama lagu dalam seni Gendang Melayu Sarawak sebahagian besarnya berlegar pada pemikiran cinta, sama ada dalam maksud tersurat mahu pun tersirat. Hal ini terjadi kerana fungsi utama seni bergendang adalah untuk hiburan santai. Dengan itu pemikiran terhadap cinta, kasih dan sayang sememangnya berupaya mengendurkan tegangan jiwa dan menghibur hati.
2. Pantun-pantun yang berlandaskan pemikiran cinta, walaupun digambarkan agak sederhana, ringan dan menghiburkan, namun isinya berupaya mendukung nilai, falsafah, peradaban dan etika masyarakat yang melahir dan mewarisinya. Analisis bahan secara tersirat membuktikan betapa pesta metafora, kias dan ibarat alam yang menghadiahkan nuansa yang tepat dan indah bagi menggambarkan pemikiran masyarakat.
3. Walaupun pantun yang dikutip berbentuk asli lisan, dikutip daripada lapangan dan langsung dari mulut informan, namun ciri keindahan puisinya jelas terbayang pada diksi, irama dan isi pemikirannya; meletakkan pantun-pantun cinta sebagai contoh bahan terbaik dalam rangka puitika sastera khasnya ke arah pembentukan teori estetika kesusasteraan Melayu.
4. Dalam menanggapi konsep cinta dalam mukun, isi pemikirannya tidak hanya berkait dengan hubungan perasaan antara insani terutama mainan rasa teruna – dara atau lelaki perempuan. Tapi konsep cinta boleh diperluas merangkumi hubungan antara manusia-kebudayaan, manusia – kenegaraan, manusia – keagamaan/ ke Tuhanan. Dengan ini khalayak akan dapat memahami serta menggambarkan betapa mendalam dan luasnya ruang dan latar perasaan cinta yang dianugerahi Allah kepada manusia.
5. Perasaan cinta adalah fatamorgana. Hal ini berkait dengan hati, akal, fikir dan rasa. Seringkali seseorang tidak dapat menggambarkan bahkan memberikan erti pada makna cinta itu baik dengan lukisan atau susunan kata. Kerana itulah ditemui pelbagai ragam metafora, kias dan ibarat dalam rangkap pantun cinta hanya untuk menggambarkan pemikiran cinta manusia. Metafora itu diangkat daripada alam sama ada alam buana atau alam dirgantara. Tidak semestinya yang indah dan manis, malah kerap kedapatan yang kelam, buruk dan busuk yang memberikan nilai estetik terhadap rasa cinta serta pantun itu sendiri.
6. Wajar dicatatkan bahawa pemikiran cinta dalam pantun/ mukun ini, umumnya merupakan gambaran world view (weltanshaung) masyarakat. Mukun mengutarakan falsafah tersirat yang menjalinkan perkaitan rapat rasa cinta antara manusia – alam – Tuhan. Manusia adalah sebahagian daripada alam. Kenyataan ini bukan hanya berita Allah, malah mitos budaya dalam seluruh kelompok peradaban manusia memperakuinya.
5.0 Cadangan
Kajian ini menggabungkan dua bahan. Gendang Melayu Sarawak adalah bahan seni muzik- budaya sementara pantun/ mukun merupakan bahan sastera-bahasa. Bahan ini difikirkan wajar dan sesuai menjadi bahan pendedahan mahupun pengajaran di bilik darjah atau kegiatan kokurikulum sama ada di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi malah di premis-premis kebudayaan. Beberapa cadangan disarankan untuk pengembangan dan pemuliharaan serta kewajaran penggunaannya terutama dalam konteks pengajaran-pembelajaran.
1. Seni Gendang Melayu Sarawak wajar dijadikan komponen aktiviti kokurikulum di sekolah atau institusi pengajian tinggi seperti maktab perguruan. Hal ini demikian, kerana seni tersebut menggabungkan dua kemahiran iaitu kemahiran muzik (memukul gendang dan menyanyi) dan kemahiran sastera-bahasa (mencipta dan melafaz pantun secara spontan). Seni tersebut merupakan medan sesuai untuk melatih pelajar mencipta dan melafazkan pantun dengan yakin, bersahaja dan spontan.
2. Dokumentasi bahan wajar dilakukan. Dokumentasi boleh dilakukan dalam bentuk audio-visual dan catatan bertulis. Ini kerana kebanyakan seniman rakyat yang mewarisinya sudah lanjut usia. Andai tiada sebarang usaha dilakukan, bahan ini dikhuatiri pupus dan masyarakat Melayu akan kehilangan satu lagi khazanah seni yang menghiburkan.
3. Pemuliharaan dan pengembangan juga perlu dibuat. Hal ini boleh dilakukan dengan mewujudkan kelab di peringkat sekolah, memberikan latihan dengan bimbingan pakar yang masih ada serta mengadakan pertandingan peringkat sekolah, daerah mahupun negeri. Dengan ini diharapkan khalayak yang menganggotai, mengenali dan meminati seni persembahan ini akan bertambah dan pelbagai.
4. Pendedahan seni persembahan ini kepada pelajar difikirkan dapat memberikan manfaat pembelajaran sastera-bahasa kepada mereka. Latihan bermukun/ berpantun yang mengiringi irama Gendang Melayu Sarawak memberikan ruang dan keyakinan diri kepada pelajar untuk memahirkan mereka mencipta dan melafazkan pantun dengan cekap dan cepat. Dengan iringan muzik, aktiviti ini tentunya lebih menarik, mencabar dan tidak membosankan. Suasana pengajaran-pembelajaran sastera-bahasa akan lebih ceria dan bermakna.
5. Kebanyakan pantun cinta yang direkodkan dalam kajian ini menepati ciri keindahan dan estetika pantun yang baik. Pemilihan kata dan citra sama ada di bahagian pembayang mahupun maksud begitu memikat. Malah pada pantun-pantun tertentu imegerinya membayangkan koda budaya dan unsur pewarnaan setempat yang boleh membantu pelajar mengenali budaya masyarakat Malaysia yang pelbagai. Oleh itu, latihan bermukun berupaya memaksimumkan kemahiran berfikir pelajar kerana pelajar akan berusaha mencipta pantun yang baik dan indah dari segi kata-kata dan isi pemikirannya. Di samping itu latihan ini melatih pelajar menjadi lebih kreatif dan kritis.
6. Pemikiran pantun seharusnya melambangkan budi dan peradaban masyarakat yang halus. Pantun-pantun cinta yang dianalisis dipenuhi dengan nilai-nilai murni peradaban bangsa Melayu yang menjadi teras kebudayaan Malaysia. Dengan meneliti pantun cinta dalam bermukun semua nilai murni yang digariskan dalam kurikulum pendidikan seperti kasih sayang, gigih, baik hati, rela berkorban, rasional dan lain-lain wujud sama ada secara langsung atau tidak langsung. Hal ini adalah selaras dengan aspirasi pendidikan negara. Dengan ini pelajar diharapkan berupaya memahami dan menghayati dasar dan falsafah pendidikan kebangsaan dengan lebih mudah dan bermakna.
7. Sungguhpun pemikirannya berkisar pada cinta, namun pantun-pantun yang dirakam dan dianalisis dalam kajian ini tidak menggambarkan cinta erotis yang menjadi taboo dalam etika moral Melayu. Isi pemikiran cinta yang terkandung dalam bahan kajian ini difikirkan wajar digunakan terutamanya oleh pelajar menengah atas dan institusi pengajian tinggi seperti maktab perguruan. Secara psikologi di peringkat umur remaja seperti itu sama ada sedar atau tidak pelajar ini sangat terdedah dengan kemelut cinta remaja. Ramai yang akhirnya kecundang dalam pelajaran malah kehidupan akibat tiada bimbingan untuk mewaraskan dan mewajarkan saluran perasaan cinta berkenaan. Dengan bimbingan guru, bahan kajian ini dirasakan boleh memberikan manfaat untuk guru-guru membimbing mereka melahirkan perasaan cinta secara sihat. Banyak nasihat dan pedoman berguna sama ada secara langsung atau tidak langsung tersirat di sebalik pemikiran pantun cinta ini.
Pengkaji mengharapkan khalayak dapat menerima cinta dengan konsep yang terbuka. Cinta yang indah dan mulus harus digandingkan dengan pemikiran yang objektif tanpa prasangka buruk. Manusia dicipta seindah kejadian. Dan yang mengindahkan kejadian manusia adalah rasa cinta itu sendiri. Rimba misteri cinta yang kompleks itu harus ditangani sewajarnya bagi menjamin kelangsungan tamadun insan yang bermaruah.

Bibliografi

Abdul Halim Othman, 1993. Psikologi Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
Abdul Rahman Abdul Aziz, 2002. Pemikiran Etika Hamka. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors.
Abdul Rahman Hj. Abdullah, 1995. Falsafah Alam Semesta Dalam Sejarah Tauhid Melayu. Petaling Jaya: Acces Infotech.
Abdillah Mat Nor, 2002. Temu bual di lapangan. 18 September.
Ahmad Bakar, 2002. Temubual di lapangan. 12 September.
Karim Hj. Abdullah, 1991. Himpunan Pantun Pak Zek Budayawan Dato Haji Zakaria Hitam. Petaling Jaya : Bukuraya Media.
Alisjahbana, S.Takdir, 1971. Puisi Lama. Petaling Jaya: Zaman Baru Limited.
Anwar Rithwan et al., 1990. “Pantun Sarawak” dlm. Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Lisan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Anwar Ridhwan & Rahman Shaari, 1987. Sinaran Permata. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Hj. Omar, 1993. Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bujang Abdullah, Hj., 2000. Temu bual di lapangan. 18 November.
Braginsky, V.I., 1994. Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Braginsky, V.I. 1996. Nada-Nada Islam dalam Sastera Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dae Rahmat, 2002. Temu bual di lapangan. 11 September.
Daille, Francois-Rene, 1990. Alam Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Deo Hj. Kahar & Kumpulan Gendang Melayu Sarawak Kg. Sija’e Sadong Jaya Sarawak, 2002. Temu bual di lapangan. 10 September.
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996. Sekalung Budi Seuntai Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka & Universiti Sains Malaysia, 2002. “CD Rom Kumpulan Kertas Kerja”. Seminar Antarabangsa Pantun. Kuala Lumpur : Hotel Istana, 1- 3 Julai.
Domin & Oyah, 2000. Temu bual di lapangan. 18 November.
Fennigen, Ruth., 1977. Oral Poetry – its Nature, Significance and Social Context. Cambridge : Cambridge University Press.
Harun Mat Piah, 1989. Puisi Melayu Tradisional: Satu Permbicaraan Genre dan Fungsi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah (ed), 2001. Karya Agung Pantun Melayu Bingkisan Permata. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan.
Hassan Ahmad, 2002. Imbasan. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hassan Ahmad, 2002. “Memperkasakan Tamadun Melayu”. Persidangan Teori dan Pemikiran Melayu Serantau. Tanjung Balai : Karimun, 12-14 Disember.
Ismail Hussein, 1993. Antara Dunia Melayu Dengan Dunia Kebangsaan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jeniri Amir, 2002. “ Pantun Melayu Sarawak: Komunikasi Melalui Implikatur”. Seminar Antarabangsa Pantun. Kuala Lumpur: Hotel Istana, 1-3 Julai.
Kamaruzzaman A. Kadir, 1989. Bunga Gerimis. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
Kamil Abdul Rahman, Hj., & Kumpulan Gendang Melayu Asli Sarawak (GEMAS) Kuching Sarawak, 2000. Temu bual di lapangan. 17 November.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Hati Terkenang Mulut Menyebut. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Antologi Kerusi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Anak Laut. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Seuntai Kata Untuk Dirasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Sehijau Warna Daun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001. Anak Bumi Tercinta. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khadijah Hashim, 1999. 1001 Pantun Baru. Shah Alam : K Publishing.
Latif Abdullah, Hj., & Kumpulan Gendang Melayu Sarawak Kg. Lamanat Sri Aman Sarawak, 2002. Temu bual di lapangan. 13 September.
MacLure, M., 1994. “ Talking in Class : Four Rationales for the Rise of Oracy” dlm. Steirer, B. & Maybin, J. (pnyt.) Language, Literacy and Learning in Educational Practice, hlm. 139 – 156. Cleredon: Multilingual Matters.
Majlis Peperiksaan Malaysia, 2000. Warna Sari Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka & Penerbit Fajar Bakti.
Merriam, S., 1994. Qualitative Research Design. London: University Press.
Mohd. Fauzi Abdullah,1998. “Pantun: Satu Analisis Semiotik” dlm. Dewan Sastera. Feb. hal. 23-28.
Mohd. Fauzi Abdullah, 1998. “Etika Pemikiran Masyarakat Melayu Tradisional dalam Lagu Rakyat Pahang” dlm. Dewan Sastera. Mei, hal. 42-48.
Mohd. Taib Osman, 1976. Panduan Pengumpulan Tradisi Lisan Malaysia. Kuala Lumpur : Malindo.
Mohd. Yusof Md. Noor & Abd. Rahman Kaeh (ed.), 1985. Puisi Melayu Tradisi. Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti.
Muhammad Hj. Salleh, 1986. Cermin Diri. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Muhammad Hj. Salleh, 1988. Pengalaman Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Hj. Salleh, 1992. Puitika Sastera Melayu Suatu Pertimbangan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhammad Hj. Salleh, 1997. “Perayaan Metafora Kias dan Ibarat di Pentas Pantun” dlm. Malaysian Writer Awardee of The S.E.A. Write Awards Muhammad Hj. Salleh. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Hj. Salleh, 1999. “ Estetika Pantun Melayu “ dlm. Menyeberang Sejarah: Kumpulan Esei Pilihan Sasterawan Negara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hal. 165 -191.
Muhammad Hj. Salleh, 2000. Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Hj. Salleh, 2002. “Ghairah Dunia Dalam Empat Baris; Pantun Sebagai Bentuk Bersama”. Ucap Utama Seminar Antarabangsa Pantun. Kuala Lumpur: Hotel Istana, 1-3 Julai.
Norlia Ahmad, 2002. Temu bual di lapangan. 12 September.
Rahman Shaari, 1991. Lukisan Zaman. Shah Alam: Marwilis Publisher.
Rahman Shaari & Siti Zainon Ismail (ed.), 1995. Langit di Tangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rainah Kawi, 2002. Temu bual di lapangan. 11 September.
Affendi Haji Khalik, 2000. “ Bergendang Sarawak” dlm. Dewan Budaya, Jun: hal. 36-37.
Safian Hussain et al., 1988. Glosari Istilah Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Seyyed Hossein Nasr, 1933. An Introduction to Islamic Cosmological Doctrines. Terjemahan. Baharuddin Ahmad, 1992. Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hawa Haji Salleh, 1997. Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sohaimi Abdul Aziz, 1997. Rasa Fenomenologi; Penerapan Terhadap Karya A. Samad Said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Arabi Idid, 1998. Kaedah Penyelidikan Komunikasi dan Sains Sosial. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syeikh Othman Sheikh Salim et al., 1997. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tuah Matnor (ed.), 2002. Gendang Melayu Sarawak. Kuching: Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak.
Wilkinson, R.J., & Winstedt, R.O., 1961. Pantun Melayu. Singapura. Malaya Publishing House.
Za’ba, 1962. Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicetak semula dengan edisi ejaan rumi baharu dengan pengenalan oleh Asmah Hj. Omar, 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zainal Abidin Bakar (ed.), 1984. Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zakaria Awang Soh, 1994. Kecanggihan Alam Semesta: Antara Wahyu Dengan Pengetahuan Sains. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zumthor, Paul., 1990. Oral Poetry – an Introduction. Minnesota: University of Minnesota Press.

KAJIAN TINDAKAN

Standard

PANDUAN MELAKSANAKAN KAJIAN TINDAKAN

1 LANGKAH I : MENGENALPASTI ISU /MASALAH/ SITUASI
1.1 Pusatkan perhatian terhadap isu utama yang berlaku
1.2 Mempercayai bahawa ia boleh diperbaiki
1.3 Libatkan persoalan yang boleh diperbaiki dan hadkan kepada persoalan yang kecil
1.4 Persoalan penting kepada anda (guru) dan pelajar
1.5 Sebaik-baiknya dilakukan secara kolaboraif
2 LANGKAH II : TINJAUAN ATAU MENGUTIP DATA
2.1 Data boleh dari dokumen seperti – hasil kerja murid, analisis peperiksaan, dokumen penyeliaan P&P, jadual kedatangan, kerja amali video , gambar, transkrip temubual, diari, kerja lapangan dan sebagainya
2.2 Kaedah mengutip data boleh dengan cara pemerhatian tingkahlaku, pemerhatian P&P, temubual, analisis dokumen (sukatan pelajaran, rancangan pelajaran, kertas peperiksaan, laporan kurikulum, minit mesyuarat, contoh kerja murid, bab dalam buku teks), bukti bergambar, rakaman pita video, catatan diari, soalselidik, ujian, penilaian kendiri (refleksi guru dll)
3 LANGKAH III: ANALISIS DATA
3.1 Analisis kandungan yang berkaitan isu
3.2 Mencari perkara yang tak diduga berkaitan isu
3.3 Melihat pola atau corak masalah tertentu
3.4 Boleh juga analisis dilema/isu
3.5 Analisis secara perbincangan
4 LANGKAH IV : MENENTUKAN FOKUS KAJIAN
4.1 Analisis data adalah untuk memberi gambaran situasi dan PERNYATAAN MASALAH sebenar
4.2 Fokus kajian – hanya kepada isu, mustahak kepada murid dan pengkaji/sekolah, tumpu kepada persoalan P&P, keberkesanan guru atau pembolehubah boleh kawal yang lain seperti kurang latihan, dan kurang kemahiran belajar
5 LANGKAH V: MERANCANG LANGKAH-LANGKAH TINDAKAN
(PROJEK P&P TERANCANG)
5.1 Dua jenis perancangan iaitu (a) mengubahsuai cara yang sedia ada. (b) menggantikan cara yang asal dengan cara yang baru
5.2 Perancangan elibatkan:
5.2.1 Objektif /matlamat cadangan tindakan
5.2.2 Sebab sebab atau justifikasi tindakan itu perlu dibuat
5.2.3 Senarai cara baru, aktiviti baru yang dijalankan , bahan kurikulum yang digunakan, struktur organisasi, konsep atau falsafah jika ada
5.2.4 Cara-cara pengesanan/pemantauan dibuat terhadap perubahan
5.2.5 Menyatakan penilaian formatif atau sumatif
5.2.6 Pernyataan yang lain – sumber rujukan, kewangan, tenaga, kelengkapan, modul, bahan dan masa
5.2.7 Bersesuaian dengan teori praktik yang dibina dari amalan sebenar
6 LANGKAH VI : PELAKSANAAN LANGKAH-LANGKAH TINDAKAN
6.1 Melaksanakan perubahan atau tindakan bererti ada risiko dan kita tidak boleh tunggu sehingga tiada risiko
6.2 Komitmen besar diperlukan dalam melaksanakan tindakan yang dirancangkan. Rekodkan semua aktiviti tindakan
6.3 Tindakan sepatutnya dilaksanakan secara individu dan secara kolaboratif
6.4 Fokus tindakan untuk mengatasi masalah sebenar
7 LANGKAH VII : PEMANTAUAN DAN PENGESANAN
7.1 Pemantauan boleh dijalankan oleh:
7.1.1 Pengkaji (pemantauan kendiri) – gunakan borang atau innstrumen tertentu
7.1.2 Rakan / Kumpulan sejawat – dalam hal ini panitia dan pentadbir boleh membantu
7.1.3 Murid – iaitu dengan mendapatkan maklumbalas murid dari segi perasaan dan pandangannya
7.1.4 Pemantauan bersama – melibatkan pentadbir/rakan sejawat/ murid dan diri pengkaji
7.2 Rekod pemantauan patut dikemukakan oleh pengkaji
8 LANGKAH VIII : PENILAIAN
8.1 Jenis penilaian (a) Fomatif – sepanjang proses kajian serta tindakan dijalankan (b) Sumatif – penilaian dijalankan pada setiap tahap tertentu kajian tindakan dijalankan
8.2 Yang melaksanakan penilaian ialah pengkaji/ rakan sejawat/ pentadbir/ murid / bersama
8.3 Insrumen penilaian:
8.3.1 Borang penilaian (yang disediakan lebih awal)
8.3.2 Ujian pengesanan / keputusan peperiksaan
8.3.3 Pemerhatian terhadap pencapaian perubahan
8.3.4 Temubual (Gunakan instrumen soalan dan jawapan temubual)
8.4 Tujuan penilaian:
8.4.1 Mengukur keberkesanan proses tindakan
8.4.2 Menunjukkan bahagian yg boleh diperbaiki
8.4.3 Menunjukkan kelemahan dalam arahan atau prosedur dan amalan
8.4.4 Mengukur pencapaian objektif kajian
8.4.5 Sebagai panduan pusingan kajian seterusnya
9 LANGKAH IX : TINDAKAN UNTUK GELUNGAN KEDUA/ SETERUSNYA
9.1 Hasil penilaian langkah tindakan gelungan pertama memberi jawapan kepada pengkaji sama ada tindakan berkesan atau tidak
9.2 Tindakan seterusnya dijalankan bagi mengatasi isu yang sama atau isu yang baru
10 LANGKAH X : PELAPORAN
10.1 Format pelaporan yang biasa digunakan seperti dalam lampiran 1
10.2 Walaubagaimanapun pengaji biasanya mempunyai cara tersendiri untuk mempersembahkan pelaporannya. Yang penting pelaporan itu difahami oleh orang yang menerima laporan