Category Archives: SISTEM PENTADBIRAN MALAYSIA

Yang Dipertuan Agong

Standard

mh_rajakita1

SISTEM MONARKI DI MALAYSIA

KETUA NEGARA DAN NEGERI
Jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah jawatan yang diwarisi turun temurun. Malaysia mengamalkan sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen pada dua peringkat iaitu peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri. Pada peringkat Persekutuan, Ketua Negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sementara ketua kerajaan ialah Perdana Menteri. Pada peringkat negeri pula, ketua negeri dikenali dengan pelbagai nama seperti Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Besar juga Yang Dipertua Negeri sementara ketua kerajaan pula ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri.

MAJLIS RAJA-RAJA
Dalam Perlembagaan Persekutuan urusan pemilihan dan perlantikan Yang di-Pertuan Agong adalah terletak pada Majlis Raja-Raja. Dalam sistem kerajaan Persekutuan yang terdapat ramai Raja, sebuah Majlis yang dinamakan Majlis Raja-Raja telah ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri bertemu dan berbincang. Dalam beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja.

NASIHAT KERAJAAN
Institusi pemerintahan beraja merupakan sumber kekuasaan dan kewibawaan, pemerintah dan kerajaan. Institusi ini merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia kepada negara. Di negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah sistem kerajaan Raja berperlembagaan, kuasa rakyat terletakhak pada Parlimen yang kemudiannya meletakhakkan kuasa eksekutif kepada Jemaah Menteri. Walau bagaimanapun, setiap tindakan pihak berkuasa dilaksanakan atas nama Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat kerajaan.

Kuasa Diraja

Menurut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan mestilah ada seorang Ketua Negara Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong. Baginda mengatasi semua orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh didakwa dalam mana-mana mahkamah kecuali Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15 (Perkara 182 dan 183). Selepas baginda, Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa Raja Permaisuri Agong hendaklah menduduki tempat kedua iaitu selepas Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai Ketua Negara, baginda mempunyai bidang kuasa yang luas seperti yang dikanunkan dalam Perlembagaan. Baginda juga mempunyai peranan dan fungsi dalam tiga cabang Kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.

PERKARA-PERKARA YANG TIDAK BOLEH DILAKUKAN OLEH YDA

Perkara 34 dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukan:

“34. Perkara-perkara yang tidak boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

(1) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya sebagai Raja Negerinya kecuali tugas-tugasnya sebagai Ketua Agama Islam.

(2) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang baginya apa-apa saraan.

(3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mengambil bahagian dengan giat dalam apa-apa enterprais perniagaan.

(4) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menerima apa-apa jua jenis pendapatan yang kena dibayar atau terakru kepadanya sebagai Raja Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negerinya itu atau peruntukan mana-mana Undang-Undang Negeri.

(5) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh, dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja, meninggalkan Persekutuan selama lebih daripada lima belas hari, kecuali atas lawatan Negara ke suatu negera lain.

(6) Fasal-fasal (2) dan (3) hendaklah juga dipakai bagi Raja Permaisuri Agong.

(7) Jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan atau mana-mana orang lain yang dibenarkan oleh undang-undang menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong selama tempoh lebih daripada lima belas hari maka Fasal (1) hingga (5) hendaklah dipakai baginya selama tempoh itu sebagaimana Fasal-fasal itu dipakai bagi Yang di-Pertuan Agong.

(8) Tiada apa-apa jua dalam fasal (1) boleh menahan Yang di-Pertuan Agong daripada menjalankan, sebagai raja bagi negerinya, apa-apa kuasa yang terletak padanya sama ada seorang diri atau bersama-sama dengan pihak berkuasa lain:

(a) bagi meminda Perlembagaan Negerinya; atau

(b) bagi melantik seorang Pemangku Raja atau ahli Jemaah Pemangku Raja sebagai ganti seseorang Pemangku Raja atau ahli, mengikut mana yang berkenaan, yang telah mati atau yang tidak berupaya oleh kerana apa-apa sebab menjalankan kewajipan-kewajipan jawatan Pemangku Raja atau ahli Jemaah Pemangku Raja.”

Dipetik daripada Perpustakaan Negara Malaysia